
Ketirisan Penampilan Serta Spesifikasi Samsung Galaxy Tab A 10.1 (2016)
Sebagaimana siri Galaxy A, nampaknya Samsung juga telah menggunakan pendekatan yang sama pada tablet dari siri Galaxy Tab A keluarannya apabila ia dipercayai bakal menampilkan penggunaan nama yang sama iaitu melalui penambahan (2016) pada nama model tersebut.
Walaupun belum diumumkan secara rasmi, ada sumber yang telah mendedahkan penampilan reka bentuk luaran dan juga spesifikasi Samsung Galaxy Tab A 10.1 (2016) di Internet. Seperti yang diketahui, tablet dengan sokongan WiFi ini menawarkan paparan skrin berukuran 10.1 inci dan bakal membawa nombor model SM-T580. Manakala untuk versi LTE pula ia akan dikenali dengan nombor model SM-T585.
Berdasarkan pendedahan awal itu, tablet ini menyokong paparan IPS LCD beresolusi 1920 x 1200 piksel dan akan dikuasakan dengan cipset Samsung Exynos 7870 yang menawarkan lapan teras Cortex-A53 berkelajuan 1.6GHz. Ia juga hadir dengan memori dalaman hanya 16GB beserta RAM berkapasiti 2GB. Manakala untuk penggambaran pula ia dilengkapi oleh lensa 8 Megapiksel di belakang dan 2 Megapiksel untuk tujuan selfie atau panggilan video. Tablet yang dioperasikan dengan Android 6.0.1 Marshmallow ini akan dibekalkan dengan bateri sebesar 7300 mAh.