Komputer Riba VAIO Kini Kembali & Malaysia Antara Negara Terawal Menerimanya!

Dari kanan : Mr. Alex Chung (CEO of Nexstgo), Mr. Ryosuke Akahane (Executive Vice President of VAIO Corporation) & Mr. Wilson Leung (Chairman of Nexstgo).

Jenama komputer riba VAIO yang dihasilkan oleh Sony kini kembali melalui kerjasama Nexstgo dan VAIO Corporation. Kerjasama ini merangkumi penghasilan, jualan, pemasaran serta servis komputer riba VAIO di Hong Kong, Macau, Malaysia, Singapura dan juga Taiwan. Nextsgo yang juga pengeluar jenama AVITA telah dilancar di Malaysia pada awal tahun ini.

Pada pameran tersebut, Nexstgo melancarkan dua model komputer riba terbaru iaitu VAIO S11 dan S13. Ia adalah sebuah komputer riba yang ringan dan nipis, tetapi berkuasa tinggi dengan bateri yang tahan lama. Lebih istimewa, ia juga direka tahan lasak dan dilengkapi papan kekunci kalis tumpahan air.

VAIO S13

VAIO S11 menampilkan paparan skrin FHD IPS berukuran 11.6 inci dengan berat hanya 0.85kg, manakala S13 pula menawarkan skrin FHD IPS bersaiz 13.3 inci dan seberat 1.07kg. Dilengkapi bateri 4-sel terbina di dalam, VAIO S11 menyokong bateri sehingga 11 jam serta S13 pula 8 jam.

Kedua-duanya hadir dengan rekaan unik, di mana apabila skrin dibuka ia akan mengangkat papan kekunci menjadi sedikit condong. Ini menjadikannya lebih mudah menaip. Selain itu, terdapat juga sensor pengimbas cap jari yang terletak di bawah papan kekunci bagi tujuan keselamatan.

VAIO S11 dan S13 dikuasakan oleh pemproses Intel Core i5 dan i7 generasi ke-8 bersama pemproses grafik Intel UHD Graphics 620. RAM dari jenis LPDDR3 bersaiz 4GB hingga 16GB. Storan dalaman pula menggunakan SSD PCle sebesar 128GB hingga 512GB.

VAIO S11

Kedua-duanya akan dijual di Hong Kong dan Taiwan bermula Julai 2018, dan ke pasaran lain termasuk Malaysia sekitar bulan Ogos 2018. VAIO S13 akan dijual pada harga bermula dari RMB8,688 (kira-kira RM5,398) manakala VAIO S11 pula berharga dari RMB8988 (kira-kira RM5,585). Maklumat lanjut mengenai komputer riba terbaru keluaran VAIO ini boleh ke laman rasmi VAIO Malaysia.

You might also like