
Huawei Dalam Proses Menghasilkan Kirin 1020 – Kuasa Dua Kali Ganda Berbanding Kirin 970
Kita sedia maklum setiap tahun akan ada satu cip pemproses berprestasi tinggi dilancarkan, sama ada Qualcomm, Samsung ataupun Huawei. Setelah Snapdragon 845 digunakan sejak awal tahun ini, Huawei masih kekal menggunakan Kirin 970 pada peranti kelas induk mereka. Jika dibandingkan antara kedua-dua cip ini, boleh dikatakan Huawei tertinggal di belakang – itupun disebabkan Kirin 970 mempunyai sokongan AI yang baik.

Jadi, untuk memberi saingan semula kepada telefon pintar yang menggunakan cip Snapdragon, Huawei mengesahkan akan menggunakan Kirin 980 untuk peranti Huawei Mate 20 mereka tidak lama lagi (dijangka Oktober). Kirin 980 yang dibina berasaskan cip sebesar 7nm ini dikhabarkan lebih efisyen dan mampu menandingi cip 10nm pada Snapdragon 845.
Terkini, melalui sumber dari China, Huawei dilaporkan sedang dalam proses menghasilkan Kirin 1020. Tambahan pula, cip ini berkemampuan dua kali ganda berbanding cip sedia ada, Kirin 970. Tetapi, sumber berkenaan tidak menyatakan selebihnya termasuk keupayaan cip ini untuk menyokong rangkaian 5G yang pertama.
Jika ia benar Huawei sedang menghasilkan Kirin 1020, kita akan mula melihatnya pada peranti Huawei tidak lama lagi.

