

Pasaran komputer di Malaysia dihangatkan lagi dengan kemasukan jenama dari Amerika Syarikat iaitu Avita. Jenama yang berasal dari kuasa besar dunia ini menawarkan rangkaian laptop bergaya seiring dengan teknologi gaya hidup terkini. Avita kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia selepas Singapura, Taiwan, dan Hong Kong dengan membawakan Avita LIBER, sebuah laptop berkuasa pada harga yang berpatutan.
Avita LIBER dengan seberat 1.37kg hadir dengan dua varian yang berbeza, satu daripadanya dengan spesifikasi asas manakala satu lagi dengan spesifikasi lebih tinggi. Pada saiz paparan 13.3-inci dan 14-inci, skrin di kedua-dua varian menawarkan resolusi HD penuh (1080p) yang dikuasakan CPU Intel Celeron dan Intel Core i7. Memori RAM pula hadir dengan RAM 4GB dan 8GB DDR3 diikuti bersama storan 128GB sehingga 512GB SSD.

Jangka hanyat bateri dikatakan mampu bertahan sehingga 10 jam dengan sokongan bicu USB-C disamping pengecasan pantas. Terdapat dua bicu USB 3.0 disediakan untuk menghubungkan peranti dan aksesori berbeza. Avita LIBER juga lebih pantas melayari internet dengan adanya WiFi berteknologi terkini dan pemindahan fail menggunakan Bluetooth 4.0.
Jika kesemuanya masih belum memuaskan, Avita LIBER didatangkan dengan kemasan warna-warna yang ceria dan menarik. Syarikat ini memaklumkan, pada tahun 2018 para pelanggan di Malaysia akan mula ditawarkan platfom layan diri membolehkan pelanggan mencipta bingkai mengikut fesyen dan citarasa tersendiri. Ia sekaligus mengubah cara pengguna menerima peralatan elektronik dan teknologi mengikut kesesuaian masing-masing.

Pada masa sama, Avita juga melancarkan rangkaian aksesori seperti sarung laptop, beg galas laptop, bekas pembawa serta peranti sampingan seperti tetikus tanpa wayar. Beg galas yang dijual membawakan sokongan zip kalis air dan sarung laptop dengan grafik dan corak yang boleh dicetak secara digital.
Avita LIBER dijual pada harga RM1,799 hingga RM4,399 yang boleh didapati secara eksklusif di Notebook Pro, Digital Mall, Petaling Jaya bermula 10 Februari 2018. Selain itu, ia juga boleh didapatkan di Avita Pop-up Store di Plaza Low Yat pada 10 dan 11 Februari 2018. Avita dijangka akan membuka lebih banyak cawangan pada bulan hadapan.

Spesifikasi Avita LIBER
- CPU – Intel Celeron / Intel Core i7
- Paparan – IPS 13.3” / 14” FHD 1080p
- Memori – 4GB/ 8GB DDR3 1600MHz
- GPU – Intel HD Graphics
- Storan – 128GB / 256GB / 512GB (SSD)
- Kamera – 720p HD
- Audio – Speaker stereo (1W)
- Papan kekunci – Island-type
- Bluetooth – v4.0
- Bicu – 2x USB 3.0, 1x USB-C, 1x slot MicroSD, 1x 3.5mm audio, 1x mini HDMI
- Bateri – Li-Ion 36Wh (10 jam)
- Warna – Pelbagai variasi
- Aksesori – AC adapter, mini HDMI, HDMI adapter
- Harga – RM1,799 hingga RM4,399
Untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut, anda boleh layari laman sesawang rasmi Avita atau halaman Facebook rasmi.

