
HARGA: RM 699
Walaupun dijual pada harga mampu milik, honor 6A Pro telah menampilkan rekaan premium kerana ia diperbuat daripada logam bagi menjanjikan kualiti yang terbaik. Selain itu, ia juga turut menawarkan sokongan spesifikasi antara yang terbaik dalam kelas harganya seperti kapasiti ROM serta RAM yang besar, ketahanan bateri yang baik dengan kapasiti bateri mencecah 3020mAh, kamera utama beresolusi 13 Megapiksel, dan juga sensor pengimbas cap jari yang sangat praktikal kerana menyokong fungsi kawalan tambahan.
Jika anda ingin mengetahui apakah keistimewaan dan juga kelebihan honor 6A Pro ini, teruskan membaca ulasan yang telah dibuat oleh kami.
PAKEJ PEMBELIAN

FIZIKAL
5.0 Inci HD
Sama seperti rekaan panel depan peranti keluaran honor yang lain-lain, honor 6A Pro mengekalkan identiti rekaan yang sama sahaja. Ini dapat dilihat melalui rekaan bahagian bezel bawah yang tertera logo ‘honor’ tanpa sebarang butang kawalan tipikal Android.
honor 6A Pro didatangkan dengan paparan skrin sebesar 5.0 inci beresolusi 720 x 1280 piksel dan bahagian bawah skrin telah digunakan untuk menempatkan tiga butang kawalan Android jenis on-screen.
LED Notifikasi
Walaupun dijual pada harga mampu milik, honor masih tidak mengabaikan ciri-ciri kecil termasuklah penyediaan LED notifikasi pada bahagian atas kiri kerangka.
Sokongan lampu LED notifikasi pada honor 6A Pro sememangnya sangat praktikal kerana anda boleh sentiasa peka dengan sebarang aktiviti yang anda terlepas tanpa perlu mengaktifkan paparan skrin.
Lensa Utama & Pengimbas Cap Jari
Bahagian panel belakang honor 6A Pro telah menempatkan lensa utama beresolusi 13 Megapiksel dengan sokongan satu LED Flash di sebelah kiri lensa tersebut. Namun begitu, agak mengecewakan kerana lensa honor 6A Pro kelihatan agak timbul dari permukaannya tetapi penggunaan permukaan lensa yang diperbuat daripada kaca sedikit sebanyak mampu mengatasi isu lensa daripada tercalar.
Kerangka Logam
honor 6A Pro menyokong panel belakang yang diperbuat daripada logam dan bahagian sisi kerangkanya pula diperbuat daripada plastik. Sungguhpun begitu, kemasan warna yang sama antara logam dengan plastik sememangnya boleh membuat anda di antara pengguna yang menyangkakan bahawa ia diperbuat daripada logam sepenuhnya.
Port & Speaker
Bahagian atas kerangka menempatkan port 3.5mm audio jack dengan lubang mikrofon, manakala bahagian bawah kerangka pula boleh ditemui dua gril speaker dan juga port microUSB.
Namun begitu, hanya salah satu sahaja dari gril speaker itu menempatkan speaker berkualiti mono, dan satu lagi gril itu sebenarnya merupakan lubang mikrofon.
Slot Kad Hibrid
Untuk mengakses slot kad, anda boleh menggunakan pin yang ada disediakan dalam pakej pembelian. Seperti kebanyakan peranti yang menyokong dua kad SIM, honor 6A Pro turut menyokong slot kad jenis hibrid.
Ini bermakna anda perlu membuat pilihan sama ada ingin menggunakan kedua-dua slot itu untuk kad nano SIM ataupun satu kad nano SIM dan satu kad microSD.
APA YANG MENARIK?!
Pilihan Homescreen

Dengan antaramuka EMUI 5.1, anda boleh memilih jenis paparan yang akan digunakan pada homescreen. Terdapat dua gaya homescreen boleh anda pilih iaitu Standard yang tampil dengan paparan homescreen mirip seperti antaramuka iOS.

Manakala gaya homesreen kedua pula adalah Drawer yang menyokong paparan App Drawer sesuai untuk pengguna yang gemarkan pengalaman penggunaan mirip seperti peranti asal Android.
Cara mengaktifkannya: Settings → Home Screen Style
Kawalan Pengimbas Cap Jari
Selain boleh digunakan untuk mengakses peranti anda menggunakan cap jari, sensor pengimbas cap jari ini juga sebenarnya turut menawarkan dua fungsi kawalan tambahan.
Kawalan pertama adalah dengan meleretkan dari atas ke bawah untuk memaparkan panel notifikasi, manakala anda juga boleh melihat koleksi gambar di dalam galeri dengan menggunakan kaedah leretan ke kiri atau ke kanan pada sensor tersebut.
Cara mengaktifkannya: Settings → Fingerprint ID → SLIDE GESTURE, aktifkan kedua-dua butang fungsi kawalan tersebut.
Eye Comfort
Sekiranya anda sering menggunakan smartphone ini terutamanya untuk aktiviti membaca, melayari Internet atau mengakses aplikasi sosial Facebook untuk satu tempoh masa yang lama, honor 6A Pro ada menyokong fungsi yang dinamakan sebagai Eye Comfort bagi memastikan mata anda tidak mudah menjadi penat.
Mod ini akan menapis penghasilan cahaya biru dengan penggunaan efek lapisan kekuningan pada skrin. Apa yang pasti, fungsi ini juga sememangnya sangat sesuai digunakan pada waktu malam terutamanya apabila anda melihat paparan skrin smartphone sebelum waktu tidur.
Cara mengaktifkannya: Settings → Display → SCREEN, klik pada butang Eye comfort untuk mengaktifkannya. Anda juga boleh mengaktifkan mod ini secara automatik mengikut masa yang ditetapkan.
Bateri 3020mAh
Walaupun hanya menyokong paparan skrin berukuran 5.0 inci dengan saiz kerangka yang agak kecil, honor 6A Pro berupaya menyokong bateri dengan kapasiti yang agak besar di dalam kelasnya.
Dengan bateri berkapasiti 3020mAh, honor 6A Pro dikatakan mampu menawarkan sehingga 28 jam masa berbual dengan rangkaian 2G, 12 jam masa memain video HD, 10 jam masa melayari Internet dengan rangkaian 4G, ataupun 57 jam masa memainkan muzik. Tidak cukup dengan itu, bateri pada honor 6A Pro turut direka untuk ketahanan kerana ia mampu mengekalkan 80% atau lebih dari kapasiti bateri walaupun selepas 800 kali dicas.
Prestasi Pemproses
Kebiasaannya smartphone keluaran honor akan dikuasakan oleh pemproses HiSilicon Kirin, tetapi nampaknya honor 6A Pro telah membawakan sedikit kelainan apabila ia menggunakan pemproses Qualcomm Snapdragon 430. Jadi bagi melihat sendiri keupayaan prestasi honor 6A Pro ini, kami telah menjalankan beberapa ujian benchmark sintetik seperti berikut:
HASIL GAMBAR


ULASAN…
Jenama honor sememangnya tidak lagi perlu diperkenalkan di kalangan pembaca di luar sana kerana ia sering menjadi pilihan pengguna yang menginginkan sebuah peranti yang menyokong spesifikasi terbaik pada harga mampu milik. Bahkan honor sendiri dilihat masih tidak memungkiri janjinya dalam menawarkan peranti terbaik di dalam kelas harganya di pasaran.
Kini dengan honor 6A Pro, jelas dapat dilihat bahawa selain daripada sokongan spesifikasi terbaik, honor juga dilihat tidak mengabaikan ciri-ciri premium dengan penggunaan kerangka logam yang menjanjikan kualiti terbaik. Apa yang pasti, memiliki honor 6A Pro boleh dianggap sangat berbaloi dengan harga jualannya berbanding pesaingnya yang lain di pasaran tempatan.



