
CES 2018 : Sony Lancar Tiga Model Fon Telinga Sukan Tanpa Wayar
Sony yang merupakan antara jenama popular di kalangan peminat audio di seluruh dunia, baru-baru ini telah melancarkan tiga model fon telinga sukan tanpa wayar terbaru keluarannya. Ketiga-tiga model ini diperkenalkan bagi memenuhi gaya hidup individu yang aktif dan gemarkan muzik tidak kira di mana jua mereka berada dengan kehadiran model WF-SP700N, WI-SP600N dan juga WI-SP500.
WF-SP700N
Model ini merupakan salah satu daripada tiga model fon telinga sukan tanpa wayar telah diperkenalkan oleh Sony bagi memenuhi gaya hidup individu yang aktif dan gemarkan muzik tidak kira di mana mereka berada. WF-SP700N telah menggabungkan dua ciri penting yang pertama seumpamanya di dunia iaitu teknologi pembatalan bunyi digital dan juga rekaan yang kalis pada percikan air dengan pengiktirafan IPX4. Aspek kawalannya juga lebih baik dengan adanya sokongan dari Google Assistant.
Apa yang lebih istimewanya, rekaan tanpa kabel ini turut memastikan anda sentiasa berwaspada dengan persekitaran dengan adanya sokongan mod Ambient Sound. Kualiti audio pada WF-SP700N tidak diabaikan dengan sokongan Sony EXTRA BASS dengan keupayaan untuk menala tetapan EQ menggunakan aplikasi Sony | Headphone Connect. Manakala penyediaan bekas simpanan yang juga berfungsi sebagai tempat pengecas memastikan fon telinga ini sentiasa kekal aktif.
WI-SP600N
WI-SP600N turut menyokong teknologi pembatalan bunyi digital dan juga kualiti audio, sama seperti model WF-SP700N. Malah ia turut menerima pengiktirafan IPX4 yang mampu bertahan dari hujan ataupun peluh tanpa merosakkannya. Dengan rekaan yang kompak dan ergonomik, ia masih mampu menawarkan ketahanan bateri sehingga 6 jam.
WI-SP500
Fon telinga WI-SP500 yang turut menerima pengiktirafan IPX4 ini pula tampil dengan unit pemacu jenis terbuka bagi mengenali bunyi ambien secara semulajadi. Melalui rekaan khas yang ergonomik, WI-SP500 mampu digunakan sehingga 8 jam dengan hanya satu cas penuh.
WF-SP700N dan WI-SP600N akan mula dijual di Malaysia bermula Julai 2018 nanti, manakala model WI-SP500 pula akan tersedia di pasaran tempatan bermula pertengahan Mac 2018 ini.

