Apple Mungkin Lancarkan Tiga Model Seakan iPhone X Tahun Depan

Apple iPhone X akan mula memasuki pasaran tempatan bermula 24 November depan. Secara umumnya, penjualan peranti ini mendapat sambutan yang sangat baik. Harganya yang tinggi langsung tidak menjadi isu bagi mereka yang teruja untuk mendapatkannya.

Khabar angin dari KGI mendapati Apple mungkin akan melancarkan tiga buah model iPhone menggunakan rupa seakan sama seperti iPhone X tahun hadapan. Besar kemungkinan Apple sudah bersedia untuk melupakan rekaan ikonik daripada Steve Jobs dan kini mula sedar pengguna sudah merasa bosan.

Dalam pada itu, sumber mengatakan dua daripada tiga model akan menggunakan skrin OLED beresolusi tinggi. Varian yang dulu dikenali sebagai ‘Plus’ akan digantikan dengan skrin sebesar 6.5 inci selain varian standard hadir dengan skrin bersaiz 5.8 inci.

Varian ketiga sebesar 6.1 inci LCD mungkin sebagai model tambahan, atau mungkin peranti iPhone dengan harga yang lebih rendah. Menariknya ketiga-tiga model ini tidak lagi seperti dulu malah ia akan dilengkapi paparan hampir tiada bingkai tanpa pengimbas cap jari.

iPhone untuk tahun 2018 mungkin akan bermula dengan tanda harga $649 (lebih kurang RM2,719) tetapi perlu diingatkan perkakasan dalaman dan kemasan luaran tidak mungkin sama seperti dua model di atasnya.

Berikutan rekaan iPhone yang hampir tidak berubah untuk 10 tahun yang lalu (kecuali iPhone X), ia menyebabkan penjualan iPhone 8 merudum. Maka, tiba masa untuk Apple berubah angin.

You might also like