
Huawei Mate 10 Diperkenalkan Dengan Paparan QHD, Dwi Kamera Leica

Huawei secara rasminya memperkenalkan Huawei Mate 10 kepada umum hari ini. Pengenalan peranti flagship ini sekaligus menjadikan ia sebuah telefon pintar tercanggih Huawei setakat ini.
Huawei Mate 10 hadir dengan ciri-ciri lengkap sebuah telefon pintar masa kini. Ia dilengkapi skrin dengan nisbah 16:9 beresolusi QHD. Di bahagian bawahnya pula diletakkan butang home selaku pengimbas cap jari.

Dijana menggunakan cip paling berkuasa Huawei pernah hasilkan, Kirin 970 dimuatkan bersama memori sebesar 4GB RAM dan storan 64GB juga boleh diperluaskan melalui kad microSD.
Kamera utama kini dipertingkatkan dengan penggunaan sensor 20 Megapiksel monochrome dan 12 Megapiksel RGB, kedua-duanya berteknologi Leica. Sensor dwi Leica ini juga menawarkan aperture seluas f/1.6, Hybrid Zoom, OIS serta dwi ISP (Image Signal Processor) yang terbaru. Kamera depan pula menyediakan sensor 8 Megapiksel f/2.0.

Kerangka bodi Mate 10 direka berasaskan logam setebal 8.2mm malah ia menawarkan sokongan kalis air IP53. Mengecas bateri sebesar 4,000mAh lebih selamat kerana ia turut mendapat pengesahan dari TUV Safety Certified – pengecasan end-to-end pertama paling selamat di dunia.
Peranti ini juga hadir dengan speaker stereo dan fungsi dwi SIM dengan kedua-duanya menyokong liputan 4G LTE sehingga 1.2Gbps – pertama seumpanya di dunia. Pilihan warna yang disediakan ialah Mocha Brown, Champagne Gold, Gold, Pink Gold, dan Black.

Huawei Mate 10 dioperasikan dengan Android 8.0 Oreo serta sistem antaramuka EMUI 8.0. Peranti ini juga memudahkan pengguna melalui ciri Easy Projector iaitu sambungan kabel USB Type-C terus ke monitor.
Setakat ini, Huawei masih belum mengumumkan pasarannya di Malaysia serta harga yang dicadangkan. Apa yang pasti, harganya lebih rendah berbanding peranti-peranti flagship seperti Samsung dan Apple.

