Reviu Eksklusif: Sony Xperia X VS Xperia X Compact, Abang Lawan Adik

HARGA :
XPERIA X RM2,199 I XPERIA X COMPACT RM1,999

Sony Xperia X Compact baru sahaja dilancarkan di negara kita bersama-sama model flagship terbaru Sony, iaitu Xperia XZ. Model X Compact yang bersaiz 4.6 inci merupakan versi mini kepada model Xperia X yang telah pun dilancarkan sebelum ini. Di dalam saiz faktor yang lebih kecil, ia masih menawarkan persamaan dengan model Xperia X dan di samping itu mempunyai beberapa perbezaan berbanding “abang‘nya. Kami ada sediakan ulasan untuk anda melihat perbandingan dan perbezaan di antara Xperia X Compact dan juga Xperia X.

 

FIZIKAL

Xperia X Compact di dalam tangan
Xperia X di dalam tangan

Aspek fizikal merupakan perbezaan ketara yang dapat kita lihat di antara kedua-dua model. Xperia X Compact mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding Xperia X, oleh itu Xperia X Compact lebih mudah dikendalikan dengan satu tangan dan amat selesa ketika digenggam. Jika dilihat dari sisi, Xperia X Compact lebih tebal sedikit berbanding Xperia X, namun perbezaan ini tidaklah terlalu besar sehingga menimbulkan ketidakselesaan, bagi kami Xperia X Compact lebih mudah dan selesa dipegang.

Selain dari saiz, kemasan yang digunakan pada kedua-dua model ini juga berbeza. Kemasan jenis metallic digunakan pada Xperia X manakala Xperia X Compact pula mempunyai kemasan ala seramik. Kedua-dua kemasan ini tidak terlalu licin dan peranti masih boleh dipegang dengan selesa tanpa perlu risau akan terlepas dari genggaman. Walaupun begitu, kemasan ala seramik pada Xperia X Compact sangat mudah menunjukkan kesan cap jari, minyak dan juga lebih mudah calar, jadi kami perlu kerap mengelap panel peranti ini dan jika anda ingin mendapatkan Xperia X Compact, sila dapatkan sekali cover untuknya.

Kesan cap jari jelas kelihatan selepas digunakan beberapa hari, pemilik perlu kerap membersihkan panel Xperia X Compact

 

SPESIFIKASI

Selain dari aspek fizikal, Sony Xperia X dan Xperia X Compact juga sedikit berbeza dari segi spesifikasi. Terdapat sedikit pengurangan spesifikasi dilakukan pada Xperia X Compact dan terdapat satu tambah baik yang awesome diberikan pada model kompak ini, nak tahu? Teruskan membaca!

Spesifikasi Xperia X Xperia X Compact
Dimensi 142.7 x 69.4 x 7.9mm 129 x 65 x 9.5mm
Berat 153g 135g
Paparan 5 inci, 1920 x 1080 Full HD 4.6 inci, 1280 x 720 HD
Cip Pemproses Qualcomm Snapdragon 650
Memori RAM: 3GB
ROM: 32GB / 64GB
microSD sehingga 256GB
RAM: 3GB
ROM: 64GB
microSD sehingga 256GB
Kamera Utama: 23 Megapiksel, Phase Detection Autofocus (PDAF), LED flash
Utama: 23 Megapiksel,
Phase Detection Autofocus (PDAF), LED flash
Hadapan: 13 Megapiksel
Hadapan: 5 Megapiksel
Pengesan Cap Jari Ada
Bateri 2620mAh 2700mAh

 

Paparan

Pertama sekali kita lihat perbezaan dari segi kemampuan paparan. Xperia X nampaknya lebih hebat dari segi paparan di mana ia mempunyai paparan Full HD (1920 x 1080 piksel) berbanding Xperia X Compact yang hanya mempunyai paparan HD (1280 x 720 piksel). Saiz skrin yang kecil dan juga definisi yang rendah berbanding model “abang” mungkin akan menjadi sesuatu yang kurang digemari bagi mereka yang kerap menonton video melalui smartphone. Walaupun bersepesifikasi lebih rendah, Xperia X Compact masih lagi mampu memaparkan paparan yang jelas, jitu dan warna yang menyerlah.

Terdapat sedikit perbezaan dari talaan warna dan kontra di antara paparan Xperia X dan Xperia X Compact.

 

Ujian Benchmark

Snapdragon 650 yang digunakan pada model Xperia X sekali lagi digunakan untuk Xperia X Compact, di samping itu kedua-dua model ini juga mempunyai kapasiti RAM yang sama. Ini bermakna sepatutnya tiada perbezaaan prestasi yang ketara di antara kedua-dua model, namun untuk mengesahkan teori ini, kami lakukan ujian benchmark pada kedua-dua model.

(Kiri) Skor benchmark Xperia X (Kanan) Skor benchmark Xperia X Compact

Seperti yang anda dapat lihat di dalam gambar, tidak banyak perbezaan skor direkodkan. Kedua-dua smartphone ini mampu mengendalikan tugasan normal sebuah smartphone, anda tidak akan mempunyai masalah untuk melancarkan aplikasi dengan pantas, bermain permainan terkini dan juga lain-lain.

 

Sambungan

Sambungan yang ada pada kedua-dua model Sony ini berbeza, Xperia X Compact lebih moden kerana dilengkapi sambungan USB Type C manakala Xperia X masih menggunakan MicroUSB. Lain-lain spesifikasi yang perlu anda tahu adalah kedua-dua model ini tidak berada di dalam kelas peranti kalis air, jadi sila berhati-hati jika anda berada berdekatan dengan kawasan air. Namun kedua-dua peranti tidak berkompromi dari segi keselamatan, Xperia X dan Xperia X Compact dilengkapi pengesan cap jari.

Xperia X menggunakan sambungan Micro USB, manakala Xperia X Compact hadir dengan sambungan jenis baru iaitu USB Type-C.

 

Perisian

Tiada perbezaan di antara Xperia X dan Xperia X Compact dari segi perisian, kedua-dua peranti menggunakan versi Android yang sama iaitu Android Marshmallow 6.0.1. Peranti ini juga meneruskan konsep antaramuka Sony yang terbaru, di mana ia lebih cenderung kepada stock Android dan meminimakan aplikasi siap terbina. Xperia X dan X Compact juga merupakan beberapa peranti Sony yang berada di dalam rancangan naik taraf ke Android Nougat.

 

KAMERA

Ingat tak tadi kami ada sebutkan tentang tambah baik pada Xperia X Compact yang awesome? Tambah baik tersebut boleh anda jumpai pada bahagian kamera utama. Xperia X dan X Compact menggunakan lensa kamera utama yang sama, namun jika anda perhatikan dengan teliti pada bahagian setup lensa tersebut, terdapat perbezaan yang ketara pada teknologi kamera yang digunakan pada Xperia X Compact. Buat pertama kalinya Sony memperkenalkan setup kamera utama yang mempunyai 3 sensor, setup ini digunakan pada Xperia XZ dan Xperia X Compact.

(Kiri) Lensa kamera Xperia X (Kanan) Lensa kamera Xperia X Compact dengan setup 3 sensor terbaru

Xperia X Compact hadir dengan sensor Exmor RS yang digunakan bagi menghasilkan gambar berkualiti tinggi dan sistem autofocus yang pantas. Laser AF sensor pula digunakan bagi mengesan kedudukan subjek di dalam keadaan low light, lantas memudahkan anda memfokus imej di dalam gelap dan menghasilkan tangkapan yang sempurna. Sensor ketiga adalah RGBC IR yang digunakan untuk mengesan warna dan menala cahaya yang masuk, hasilnya cahaya dalam gambar anda akan seimbang. Sepanjang mencuba kedua-dua kamera, secara kesuluruhannya kami rasakan gambar yang diambil dari Xperia X Compact lebih pantas, konsisten dan baik.

Kamera Utama Xperia X Compact
Kamera Utama Xperia X
Kamera Utama Xperia X Compact
Kamera Utama Xperia X

Pertandingan kamera utama nampaknya dimenangi Xperia X Compact. Namun bagaimana pula bagi mereka yang gila selfie? Jangan risau, kami juga telah melakukan perbandingan kamera hadapan Xperia X dan Xperia X Compact. Dari segi spesifikasi, Xperia X nampaknya mempunyai kelebihan dengan lensa  kamera 13 megapiksel manakala Xperia X Compact memiliki lensa kamera 5 megapiksel.

Selfie Xperia X Compact
Selfie Xperia X
Pro & Kontra
Pro Kontra
Sony Xperia X • Kemasan lebih premium
• Paparan Full HD
• Harga lebih tinggi dari Xperia X Compact.
Sony Xperia X Compact • Saiz lebih ergonomik
• Teknologi kamera utama yang lebih baik
• Kemasan yang lebih cenderung untuk calar
• Paparan bukan Full HD

 

 

RUMUSAN

Sony Xperia X dan Xperia X Compact menawarkan pengalaman dan fungsi yang hampir sama, namun terdapat beberapa perbezaan yang akan menentukan pilihan akhir para pengguna. Jika anda seorang yang mementingkan kualiti kamera, kami mencadangkan Xperia X Compact, dan jikalau anda kaki YouTube atau kerap menghabiskan masa berjam-jam menonton video pada smartphone, Xperia X adalah pilihan yang lebih baik untuk anda kerana saiz paparan yang lebih besar dan resolusi yang lebih tinggi.

 

You might also like