- Iklan -

Paus dan Imam Besar Al-Azhar mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Zayed untuk Persaudaraan Manusia 2021

Majlis maya yang diadakan pada Hari Persaudaraan Manusia Antarabangsa disiarkan melalui penstriman kepada penonton di seluruh dunia menyaksikan Setiausaha Agung PBB, Guterres dan Latifa Ibn Ziaten menerima anugerah 

ABU DHABI, UAE, 5 Februari 2021 /PRNewswire/ — Anugerah Zayed untuk Persaudaraan Manusia telah menganjurkan majlis anugerah tahunannya hari ini dengan mesej tahniah kepada penerima anugerah tahun 2021 yang disampaikan oleh Yang Mulia Pope Francis dan Imam Besar Al-Azhar, Yang Mulia Dr. Ahmed Al-Tayeb – penerima anugerah tahun 2019.

Diiktiraf atas usaha masing-masing dalam menyokong resolusi perdamaian konflik dan sokongan nilai yang digariskan dalam Dokumen Persaudaraan Manusia, kedua-dua mereka, iaitu Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan aktivis berketurunan Maghribi-Perancis, Latifa Ibn Ziaten, diumumkan sebagai penerima anugerah 2021.

Majlis anugerah yang berlangsung dalam persekitaran menarik Founder’s Memorial di Abu Dhabi menampilkan ucapan penerimaan oleh kedua-dua penerima anugerah berserta mesej daripada Pope Francis dan Imam Besar Al-Azhar, Dr. Ahmed Al-Tayeb.

Dengan anugerah yang diinspirasikan oleh pengasas UAE dan komitmen beliau sepanjang hayat terhadap nilai-nilai kemanusiaan, Founder’s Memorial menjadi latar belakang yang sempurna untuk pengalaman visual yang benar-benar menyentuh perasaan. Dengan majlis yang dianjurkan dalam talian, penonton dari seluruh dunia dapat menonton dan menyertai sambutan tersebut serta menonton penerima anugerah menerima anugerah mereka.

Dalam mesej muhibah beliau kepada kedua-dua penerima anugerah 2021, Yang Mulia Imam Besar Al-Azhar berkata:

“Pertama sekali, saya mesti bermula dengan mengatakan bahawa Yang Mulia Pope Francis telah menjadi seorang saudara yang berani dan sahabat karib yang berusaha ke arah persaudaraan dan keamanan. Usaha sedemikian telah menyaksikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan ulang tahun acara menandatangani Dokumen Persaudaraan Manusia pada 4hbFebruari,  sebagai Hari Persaudaraan Manusia Antarabangsa yang kini akan mendorong sokongan sejagat dalam meneruskan penyebaran dialog antara budaya, kewujudan bersama dan persaudaraan manusia. Ini merupakan kemenangan untuk maruah manusia di mana-mana sahaja.

“Saya juga mengucapkan salam dan restu kepada Tuan Yang Terutama Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai penerima Anugerah Zayed untuk Persaudaraan Manusia. Jelas bahawa pelbagai usaha kemanusiaan yang bersungguh-sungguh melalui PBB telah berjaya membebaskan manusia daripada penderitaan konflik dan mengurangkan kesan negatif daripada pandemik yang menular.”

“Penerima Anugerah Bersama 2021, Latifa Ibn Ziaten merupakan model peranan yang luar biasa untuk dunia. Semangat dan ketabahan besar yang ditunjukkan dalam kemampuan beliau untuk mengubah penderitaan peribadi menjadi mesej keselamatan kepada semua merupakan kemenangan bagi seluruh manusia dan peringatan bahawa kebaikan selalunya mampu mengalahkan kuasa kejahatan.”

Berucap dari Vatican, Pope Francis bercakap tentang kepentingan persaudaraan manusia sebagai cabaran utama abad ke-21, dengan berkata:

“Kepada Imam Besar Sheikh Ahmed Al-Tayeb, saya mengucapkan terima kasih atas persahabatan sepanjang usaha mengamati cabaran ini dan penulisan Dokumen berkenaan [tentang Persaudaraan Manusia]. Saya tahu ia bukan tugas yang mudah tetapi secara bersama-sama, kita saling membantu dan bersatu dalam persaudaraan yang sebenar.

“Hari ini, persaudaraan merupakan sempadan baharu bagi manusia. Sama ada kita bersaudara atau kita memusnahkan diri kita sendiri. Inilah cabaran yang dihadapi pada abad ini; cabaran yang dihadapi dalam kehidupan kita. Persaudaraan Manusia bermakna menghormati, mendengar dengan hati yang terbuka serta mempunyai kekuatan dalam prinsip-prinsip kita.

“Lahir daripada bapa yang sama, dengan budaya dan tradisi yang berbeza, kita semua masih bersaudara; dan menghormati budaya dan tradisi kita, kewarganegaraan kita yang berbeza, kita mesti membina persaudaraan ini bukannya berunding tentangnya. Inilah masanya untuk mendengar dan untuk penerimaan secara jujur.”

Setiausaha Agung Jawatankuasa Tinggi Persaudaraan Manusia dan pengarang bersama Dokumen Persaudaraan Manusia, Hakim Mohamed Abdelsalam, menambah:

“Pada hari kita meraikan persaudaraan manusia ini, kami amat berbesar hati kerana mendapat sokongan daripada dua pemimpin yang paling berpengaruh di dunia dan penerima Anugerah Zayed untuk Persaudaraan Manusia yang terdahulu, bersatu dengan mesej dan tujuan yang sama – untuk memajukan manusia sebagai satu keluarga, yang tidak berpecah belah.

“Penerima anugerah 2021 – Latifa Ibn Zaiten dan Setiausaha Agung PBB, Guterres – benar-benar mewakili nilai-nilai yang diperjuangkan dalam Dokumen Persaudaraan Manusia, yang membentuk kriteria penilaian untuk anugerah tersebut. Sesungguhnya, usaha mereka masing-masing dalam menangani beberapa isu sosio-budaya dan politik utama dunia menjadi inspirasi kepada semua dan menjadi model peranan bagi ramai orang yang turut akan menyahut seruan untuk bertindak.”

Sebagai menandakan ulang tahun kedua sejak Paus dan Imam Besar Al-Azhar menandatangani Dokumen Persaudaraan Manusia di Abu Dhabi, Hari Persaudaraan Manusia Antarabangsa diperkenalkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada bulan Disember 2020; tarikh yang dipilih untuk memperingati mesyuarat bersejarah antara Paus dan Imam Besar semasa menandatangani dokumen tersebut pada tahun 2019.

Selain majlis anugerah ini, dan sebagai sebahagian daripada sambutan yang lebih besar pada Hari Persaudaraan Manusia Antarabangsa yang pertama, lampu akan dinyalakan di beberapa mercu tanda utama di Vatican dan Abu Dhabi pada Khamis malam.

Proses Pencalonan untuk anugerah 2022 akan dibuka pada 1hb Mei 2021 dan berakhir pada bulan Disember 2021. Untuk mengetahui sama ada anda layak sebagai pencalon atau untuk mencalonkan pemenang untuk anugerah tahun depan, sila layari: www.zayedaward.org.

Tentang ZAHF 

Anugerah Zayed untuk Persaudaraan Manusia bertujuan untuk menghormati dan mengabadikan warisan pengasas Emiriah Arab Bersatu dengan meraikan individu di serata dunia yang menghayati komitmen sepanjang hayat beliau terhadap persaudaraan manusia, dalam usaha mereka. Ia dianugerahkan oleh Jawatankuasa Tinggi Persaudaraan Manusia dan termasuk hadiah kewangan berjumlah satu juta dolar. Ia telah diwujudkan pada bulan Februari 2019 untuk mengabadikan perjumpaan bersejarah ketua Gereja Katolik, Yang Mulia Pope Francis dan Imam Besar Al-Azhar, Yang Mulia Dr. Ahmad al-Tayeb di Abu Dhabi yang menandatangani secara bersama Dokumen Persaudaraan Manusia yang bersejarah tersebut. Pope Francis dan Imam Besar al-Tayeb ialah penerima anugerah bersama yang pertama untuk Anugerah Zayed untuk Persaudaraan Manusia.

Tentang HCHF

Ditubuhkan pada tahun 2019, Jawatankuasa Tinggi Persaudaraan Manusia merupakan jawatankuasa bebas yang didedikasikan untuk mencapai aspirasi Dokumen Persaudaraan Manusia dengan menyatukan orang di seluruh dunia dalam semangat kewujudan bersama yang aman. Jawatankuasa ini terdiri daripada kumpulan pelbagai pemimpin agama antarabangsa, para cendekiawan dan pemimpin kebudayaan.

2021 Zayed Award for Human Fraternity
2021 Zayed Award for Human Fraternity

Video – https://mma.prnasia.com/media2/1433318/ZAHF_2021_Honorees_Acceptance_Speeches.mp4  
Foto – https://ering.com.my/wp-content/uploads/2021/02/paus-dan-imam-besar-al-azhar-mengucapkan-tahniah-kepada-penerima-anugerah-zayed-untuk-persaudaraan-manusia-2021.jpg

Keywords: Computer/Electronics Education Publishing/Information Service Social Media Awards

Source: PRNEWSWIRE

You might also like