
Hyde Engineering + Consulting Mengumumkan Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif
![]() |
Kerren Bergman Dinaikkan Pangkat untuk Mengetuai Hyde Global Corporation
BOULDER, Colorado, 15 Januari 2021 /PRNewswire/ — Hyde Engineering + Consulting, Inc. (Hyde) rakan kongsi sedunia untuk perkhidmatan perundingan dan reka bentuk berasaskan penyelesaian, mengumumkan pelantikan Kerren Bergman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Cik Bergman akan mengetuai perusahaan global Hyde yang sedang berkembang, mengambil alih jawatan kepimpinan Korporat daripada John Hyde, Pengerusi dan Pengasas syarikat tersebut.
“Saya teruja untuk menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif serta memimpin pasukan kejuruteraan dan analisis kami yang hebat ke arah penawaran perkhidmatan dan pengembangan masa hadapan, yang dibina atas visi dan kepakaran rakan sekerja yang juga rakan lama saya, John Hyde. Peluang ini merupakan suatu penghormatan di luar jangkaan,” kata Bergman.
“Saya amat berbesar hati mengumumkan pelantikan Kerren Bergman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Hyde Engineering + Consulting, Inc. Kerren telah bersama-sama syarikat yang berusia 27 tahun ini, lebih daripada 23 tahun dan dalam tempoh tersebut, beliau telah menunjukkan kecemerlangan dalam setiap jawatan yang disandang. Saya amat yakin dengan kebolehan dan kesungguhan Kerren untuk berjaya dalam peranannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang bakal menerajui perniagaan global kami,” kata Hyde. “Tahniah diucapkan kepada Kerren atas sumbangan beliau yang banyak kepada Hyde Engineering + Consulting hingga ke hari ini dan di sinilah bermulanya pencapaian yang lebih tinggi untuk tahun-tahun akan datang!”
Setelah mengasaskan Hyde Engineering pada tahun 1993, John Hyde terus menyokong organisasi ini sebagai Jurutera Utama serta Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah Asia Hyde. Kepemimpinan Encik Hyde dalam industri akan diteruskan dalam arena teknikal serta menyokong perniagaan Hyde di A.S. dan perniagaan antarabangsa di Eropah, India, Singapura dan Kanada.
Cik Bergman baru-baru ini berkhidmat sebagai Presiden Hyde dan bekerjasama rapat dengan Encik Hyde serta Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif sebagai persediaan untuk transisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut. Hyde telah mengalami pertumbuhan yang ketara dalam tempoh perjawatan Kerren selama 23 tahun dan peranan terdahulu beliau menerajui Operasi Global, Sumber Manusia, Kualiti, Keselamatan, IT dan Pembangunan Perniagaan telah memberinya pengetahuan yang luas untuk berkembang maju dalam peranan baharu ini. Semangat Kerren untuk mengatasi harapan pelanggan dan membangunkan pasukan Hyde yang luar biasa mendorong visi strategiknya untuk mencapai hasil yang didambakan. Bergman memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana Pendidikan dari Universiti California, Los Angeles. Sila layari http://www.hyde-ec.com untuk biodata penuh.
Rangkaian global Hyde Engineering + Consulting mempunyai 11 lokasi di 5 buah negara, yang terlibat dalam projek-projek global dengan kakitangan melebihi 250 orang di seluruh dunia, yang menyediakan reka bentuk sistem proses, permulaan tugas dan pengesahan, pematuhan FDA dan teknologi pembersihan yang canggih untuk industri farmaseutikal, bioproses serta industri yang mempunyai proses kawal selia.
Sila hubungi:
Karrie Hogan │ Pengarah Perjawatan Global karrie.hogan@hyde-ec.com
SUMBER Hyde Engineering + Consulting, Inc. │ (303) 577-1301 │ www.hyde-ec.com
Foto – https://ering.com.my/wp-content/uploads/2021/01/hyde-engineering-consulting-mengumumkan-pelantikan-ketua-pegawai-eksekutif-1.jpg
Logo – https://ering.com.my/wp-content/uploads/2021/01/hyde-engineering-consulting-mengumumkan-pelantikan-ketua-pegawai-eksekutif.jpg
Source: Hyde Engineering + Consulting, Inc.
Keywords: Computer/Electronics Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Personnel announcements STEM (Science,Technology,Engineering,Mathematics)
Source: PRNEWSWIRE