Malaysia Bakal Kaji Keperluan Sekatan Infrastruktur HUAWEI 5G

1336
- Iklan -

Kerajaan akan menjalan kajian terperinci terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan menyekat HUAWEI daripada membina kelengkapan 5G di Malaysia – susulan kebimbangan berhubung pengintipan siber yang semakin serius di negara barat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan berkata, Malaysia tidak akan mengikuti apa yang dilakukan oleh orang lain, sebaliknya akan mengkaji dan memastikan sama ada ia sesuatu yang berasas untuk diambil tindakan sedemikian.

Tambah beliau lagi, setakat ini Malaysia masih belum menemui apa-apa bukti HUAWEI melakukan sebarang kesalahan ataupun aktiviti pengintipan di negara ini.

Terdahulu, beberapa negara termasuk Australia dan New Zealand pernah mengeluarkan perintah larangan ke atas HUAWEI daripada membekalkan kelengkapan 5G di negara tersebut.

Larangan itu dikuatkuasakan atas alasan keselamatan yang mana peralatan HUAWEI didakwa berkemungkinan digunakan untuk mengintip oleh pihak berkuasa China.  Perkara itu bagaimanapun dinafikan sekeras-kerasnya oleh HUAWEI dan menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas.