Pembuat Sarung Kongsi Rekaan iPhone 6.1-inci Dengan Satu Kamera Utama

Tinggal beberapa bulan sahaja lagi barisan iPhone terbaharu akan diperkenalkan secara rasmi. Menjadi kebiasaan sebelum pelancaran sesebuah telefon pintar kelas induk, para pengeluar sarung pelindung akan menerima rekaan yang sebenar.

Sehingga sekarang banyak sumber mengatakan iPhone bakal hadir dengan tiga model iaitu iPhone X versi kemas kini, iPhone kelas tertinggi 6.5-inci, dan yang menarik sekali ialah iPhone versi permulaan 6.1-inci menggunakan reka bentuk lebih kurang seperti iPhone X tetapi besar sedikit. Harga untuk iPhone ini dikatakan akan menggantikan harga iPhone 8 pada harga bermula USD700 atau sekitar RM3,442 di Malaysia.

Faktor yang menyebabkan harga iPhone 6.1-inci menjadi lebih murah ialah kerana ia menggunakan paparan jenis LCD dan bukan OLED disamping menyediakan hanya satu kamera di belakang. Melalui gambar janaan komputer yang dikongsi daripada pembuat sarung berkualiti tinggi, Ghostek, iPhone 6.1-inci hadir dengan panel belakang kaca. Jadi, kita dapat menjangkakan iPhone ini akan menyokong ciri pengecasan tanpa wayar.

Berkenaan saiz dimensi, iPhone 6.1-inci akan muncul dengan rekaan sedikit besar berbanding iPhone X (5.8-inci). Disamping itu, ciri FaceID akan menggunakan versi sulung, sementara iPhone X versi kemas kini dan iPhone 6.5-inci akan dilengkapi ciri FaceID versi kedua dan takuk yang lebih kecil.

Bagi anda yang setia menunggu iPhone generasi terbaharu tidak lama lagi, adakah anda berasa teruja?

Sumber

You might also like