
RokShok Perkenal Sarung Telefon ‘Pertunangan’ Yang Pertama Di Dunia

Pemilik telefon pintar pada hari ini sememangnya sukar untuk dipisahkan dari media sosial dan ini jelas dapat dilihat melalui perkongsian pelbagai video serta gambar yang dimuat naik ke laman sosial. Kini dengan sarung telefon yang diperkenalkan oleh RokShok, anda boleh mengabadikan detik-detik indah ketika ingin melamar yang tersayang dalam cara yang lebih unik.

Menampilkan rekaan unik yang dilengkapi dengan tempat untuk menyimpan cincin, sarung telefon RokShok ini bukan sahaja memudahkan anda untuk melamar pasangan kekasih dengan membuat rakaman video secara langsung terus ke laman sosial seperti Facebook ataupun Instagram, malah ia juga akan mengeluarkan cincin lamaran dari bekas simpanannya apabila dibuka. Ini bermakna anda boleh terus berkongsi saat istimewa itu melalui kejutan yang dibuat.
Buat masa ini, sarung telefon RokShok sudah boleh dibeli secara pra-tempah pada harga USD39.95 (kira-kira RM161.50) berbanding harga pasarannya iaitu USD59.95 (kira-kira RM242.38). Namun begitu, buat masa ini sarung telefon ini hanya sesuai untuk beberapa model terpilih sahaja iaitu model iPhone 7, 7 Plus, 8, 8 Plus dan X, manakala untuk model Samsung pula hanya tersedia untuk model Galaxy S7, Galaxy S8 dan juga Galaxy S8+. Berdasarkan laman rasmi RokShok, proses penghantaran akan hanya dibuat mulai 1 Jun 2018 nanti.

