

Mudah alih, kebolehpercayaan, kapasiti, kelajuan dan kebolehan operasi merupakan teras utama yang ditekankan Western Digital dalam produk storan terbaru mereka, My Passport Wireless. Peranti ini dihasilkan dengan menyasarkan kepada golongan pengguna profesional yang mengendalikan fail media, seperti YouTuber, jurugambar, pereka grafik dan lain-lain lagi.
Menggunakan sambungan Direct Wi-Fi, anda boleh melakukan proses pemindahan dan backup dari peranti anda terus ke dalam My Passport Wireless Pro, sebanyak 8 peranti boleh disambungkan kepada peranti storan ini bagi memberikan anda lebih fleksibiliti dalam pemindahan data. Anda juga boleh memilih sambungan tether atau memasukkan kad memori anda ke dalam slot yang disediakan sekiranya anda mahukan proses pemindahan yang lebih stabil dan pantas.

My Passport Wireless Pro hadir dengan kapasiti 3TB, bateri yang bertahan sehingga 10 jam operasi dan juga bateri kedua yang boleh digunakan untuk anda mengecas peranti seperti kamera, smartphone dan lain-lain. Ianya dijual pada harga RM 1,099 dengan 2 tahun jaminan dari WD.

Selain My Passport Wireless Pro, Western Digital juga melancarkan siri My Cloud Pro NAS yang menawarkan kapasiti yang jauh lebih besar dan fungsi tambahan seperti hardware accelerated video processor yang akan membantu pengguna mengendalikan fail dengan lebih pantas dan mudah.


