
Apple iPhone 8 Dan iPhone 8 Plus (PRODUCT) RED Diperkenalkan
Apple hari ini memperkenalkan dua produk terbaharu iaitu iPhone 8 dan iPhone 8 Plus (PRODUCT) RED kepada umum. Pilihan warna merah edisi terhad ini bukan sesuatu yang sulung tetapi pernah dikeluarkan pada generasi iPhone sebelum ini. Kedua-dua peranti kini dikemaskan dengan kemasan panel gelas berwarna merah dan dipadankan dengan panel skrin depan berwarna hitam.
Nampaknya pihak Apple akur dengan permintaan orang ramai untuk menggunakan warna hitam menggantikan warna putih di bahagian depan, sekaligus menjadikan skrin iPhone 8 hampir tiada bezel. Tiada perubahan lain dibuat selain iPhone ini masih menawarkan saiz storan 64GB dan 256GB pada harga yang lebih kurang sama seperti model sedia ada di pasaran.
Buat masa ini tiada pengumuman mengenai ketersedian iPhone 8 dan iPhone 8 Plus (PRODUCT) RED untuk pasaran Malaysia. Dijangka peranti ini akan ditawarkan kepada pengguna di Malaysia dalam gelombang yang kedua.
Pihak Apple tidak mengeluarkan warna merah ini pada versi iPhone X, tetapi para pengguna boleh mendapatkan sarung pelindung kulit iPhone X (Leather Folio) atau aksesori tambahan untuk iPhone, iPad, dan Apple Watch termasuk fon kepala Beats Solo3, speaker Beats Pill+ yang kesemuanya berasaskan warna merah.
Seperti yang diketahui umum, (PRODUCT) RED merupakan sebahagian sokongan Apple dalam membantu pesakit-pesakit AIDS dan HIV dalam penyelidikan serta perubatan. Apple memaklumkan pada tahun 2006, mereka telah menyumbang sebanyak USD160 juta kepada Dana Antarabangsa melalui penjualan produk edisi merah ini.