
Sebaik sahaja masalah COVID-19 mula melanda, dan kita senegara mengalami penyekatan pergerakan, anda mungkin menyedari akan satu pilihan suara tambahan di dalam Bahasa Malaysia di aplikasi Waze anda, “Bahasa Malaysia – Yasmin”. Ini bukan calang-calang Yasmin – ini tidak lain dan tidak bukan suara penghibur serba boleh, Dato’ Yasmin Yusuff.

Dari menawarkan navigasi belokan-demi-belokan, ke tip keselamatan seperti mengingatkan pemandu untuk memasang tali pinggang keledar, dan juga mengingatkan pemandu untuk mengurangkan kelajuan apabila menghampiri lampu isyarat merah, Yasmin melakukannya dengan penuh kelas. Beliau juga menyelitkan ekspresi dan ungkapan yang meriangkan seperti “alamak, miss!” apabila anda terlepas susur keluar dan “lubang lagi”, suatu rungutan yang sering kita fikirkan sendiri apabila terdapat jalan yang berlubang di hadapan.
Ingin Yasmin menavigasi perjalanan anda? Ikuti langkah-langkah berikut untuk menukar suara navigasi Waze anda:
- Tekan Menu , selepas itu Tetapan
- Tekan Suara & Bunyi
- Tekan suara Waze
- Pilih “Bahasa Malaysia – Yasmin” dari senarai yang terdapat dalam panduan suara.