
Telekom Malaysia (TM) hari ini mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menawarkan satu pelan telekomunikasi menarik khas buat para pendidik iaitu guru-guru di sekolah dan di pejabat pendidikan.

Melalui kerjasama ini, TM memperkenalkan pelan yang dipanggil Pek Jasa membolehkan pendidik menikmati data internet, WiFi, panggilan, dan SMS tanpa had. Dalam memastikan guru tidak terbeban, pelan ini ditawarkan pada harga yang menarik iaitu RM59 sebulan.
Pelan ini hanya layak untuk mereka yang berada dibawah Kementerian Pendidikan (gred DG) di seluruh negara. Untuk mendaftar Pek Jasa ini, mereka perlulah sebahagian daripada pelanggan Unifi atau Streamyx bersama surat sokongan dalam bentuk pengesahan daripada Guru Besar atau pejabat pendidikan di negeri masing-masing.
Tempoh tawaran dibuka sehingga 31 Disember 2018 selain 2,000 unit telefon pintar percuma akan diberikan kepada pelanggan terawal. Guru yang berminat boleh mendaftar di TM Point yang berdekatan.

