
Gambar Jelas vivo V9 Sebelum Pelancaran Rasmi – Skrin ‘Rongak’, Dwi-Kamera Utama
Pada awal bulan ini telah tersebar gambar papan iklan vivo V9 yang terpampang di sekitar bandar di wilayah Indonesia. Apa yang menjadi tumpuan ialah peranti ini belum diumumkan oleh pihak vivo sendiri. Bagaimanapun, kami yakin ia merupakan peranti yang diilhamkan daripada rekaan konsep vivo APEX yang diperkenalkan pada acara MWC 2018 yang lalu.

Hari ini vivo berkongsi beberapa keping gambar memperlihatkan vivo V9 dengan lebih jelas. Apa yang boleh dilihat ialah peranti ini hadir dengan rekaan sebuah telefon pintar futuristik. Panel depan kini dipenuhkan dengan skrin ‘rongak’ seakan Apple iPhone X.

Pada bahagian belakang, vivo telah meletakkan konfigurasi dwi-kamera secara menegak. Menariknya, ia merupakan telefon pintar pertama keluaran vivo dengan sistem dwi-kamera. Tidak seperti vivo APEX yang menggunakan sistem keselamatan biometrik pada skrin, vivo V9 dilihat masih menawarkan pengimbas cap jari di sebelah belakang.

Difahamkan, pada bahagian sisi dan keliling kerangka dibina dengan saiz yang sama seperti iPhone X. Namun, jika diteliti bicu pengecasan yang dipadankan hanya menyokong micro USB – kebanyakan peranti tahun ini mengenakan bicu pengecasan USB-C.

Dari segi lain, vivo V9 menyediakan unit sambungan dengan slot dwi-SIM dan kad microSD untuk pilihan storan yang lebih besar.
Setelah melihat gambar-gambar jelas vivo V9, kami jangkakan peranti ini akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Apa-apapun kekal bersama kami untuk mengetahui maklumat lebih lanjut.

