
[Tertiris] ASUS Zenfone 5 Lite – Telefon Pintar Dengan Sokongan 4 Kamera?
ASUS dijadualkan akan membuat pengumuman ZenFone 5 di acara MWC 2018 tidak lama lagi. Tidak mustahil untuk model ZenFone 5, ia akan hadir dengan beberapa varian seperti generasi sebelum ini. Kini tersebar di arena sesawang menunjukkan salah satu rekaan model ZenFone 5 iaitu ZenFone 5 Lite.
Walaupun gambar yang dibocorkan ini tidak sama langsung dengan gambar sebelumnya, Zenfone 5 Lite tetap hadir dengan sokongan penggambaran dwi kamera depan dan belakang sepertimana model Huawei Nova 2i. Selain itu, telefon pintar ini juga menampilkan paparan skrin hampir penuh 18:9.
Menurut Evan Blass, kamera depan menyokong lensa dwi kamera beresolusi 20MP + 20MP untuk penggambaran swafoto, manakala kamera utama pula adalah 16MP + 16MP. Susunan kamera belakang yang menegak juga selari dengan logo WeLovePhoto yang diperkenalkan ASUS pada ZenFone 4.
Selain reka bentuk, maklumat lain mengenai telefon pintar ini masih belum diketahui. Sama-sama nantikan perlancaran rasmi oleh ASUS pada 27 Februari 2018.

