
Fungsi SOS Pada iPhone Tidak Akan Hantar ‘Ping’ Ke Balai Polis Berhampiran
Sehingga hari ini masih ada lagi pengguna iPhone di Malaysia yang salah faham mengenai fungsi SOS pada iPhone. Penyebaran info mengenai fungsi SOS akan menghantar ‘ping’ menggunakan GPS ke balai polis berhampiran telah tular di Amerika Syarikat.

Melalui sebuah artikel yang ditulis oleh Brett M.Christensen, berita yang tular itu adalah sama sekali tidak benar. Ini kerana fungsi SOS pada iPhone hanya akan memanggil nombor kecemasan (mengikut negara) yang membolehkan pengguna untuk bercakap dengan operator. Selepas mendapat pengesahan barulah operator berkenaan akan menghantar bantuan mengikut situasi kecemasan.
Fungsi kecemasan SOS telah diperkenalkan pada sistem operasi iOS 11. Ia memudahkan pengguna iPhone untuk mendapatkan bantuan kecemasan dengan cara yang lebih singkat tanpa perlu mengingati nombor tersebut. Bagi kami, rakyat Malaysia mana mungkin lupa pada nombor 999, bukan?
Ada kelebihan menggunakan fungsi ini. Selepas selesai membuat panggilan SOS, fungsi ini secara automatik akan menghantar mesej dengan lokasi semasa kepada senarai kontak kecemasan (cth: ibu bapa, isteri, suami, anak).
Untuk mengaktifkan fungsi kecemasan SOS, pengguna iPhone X, iPhone 8 Plus, dan iPhone 8 boleh menekan butang suara bawah dan butang kunci serentak untuk 2 saat. Manakala pengguna iPhone 7 Plus dan ke bawah yang dioperasikan iOS 11, boleh menekan kunci sebanyak 5 kali berturut-turut.


