
Nokia 7 Dilancarkan Dengan Rekaan Gelas Berkilat Bersama Ciri Bothie
HMD Global hari ini melancarkan sebuah lagi telefon pintar Android ke pasaran China iaitu Nokia 7. Peranti dengan sepesifikasi pertengahan-atas ini hadir dengan rekaan unibodi gelas 3D yang disertakan gelas Corning Gorilla bersama kerangka aluminium siri 7000.
Kemasan yang premium ini juga menerima sokongan kalis air IP54 sementara perkakasan dalaman dikuasakan oleh Snapdragon 630. Kelancaran sistem operasi turut dikuasakan dengan RAM 4GB atau 6GB selain storan dalaman 64GB juga boleh diperluaskan melalui kad microSD.

Paparan IPS LCD 5.2 inci HD penuh 1080p juga mendapat kuasa daripada bateri sebesar 3,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 18W. Selain itu, kamera tunggal di belakang dibekalkan sensor 16 Megapiksel f/1.8 bersama dwi-LED flash. Untuk rakaman swafoto, satu sensor 5 Megapiksel f/2.0 pula dimuatkan pada lensa sudut lebar 84 darjah.
Kelengkapan lain turut dimasukkan, ia menawarkan Bluetooth 5.0, WiFi 802.11ac, USB Type-C, bicu audio 3.5mm, NFC, dan sambungan LTE Cat.6. Sistem operasi dijana oleh Android 7.1.1 Nougat dan menariknya Nokia 7 juga menyertakan ciri Bothie dimana pengguna boleh menggunakan dua belah kamera depan dan belakang pada waktu yang sama.
Nokia 7 dilengkapkan dengan sistem audio berteknologi OZO dan didatangkan dengan pilihan warna Gloss Black dan Matt Black. Ia ditawarkan pada harga CNY2,499 (kira-kira RM1,592) untuk varian 4GB, dan CNY2,699 (kira-kira RM1,719) bagi varian 6GB.
Setakat ini, HMD Global masih belum memberitahu ketersediaan peranti ini di pasaran lain selain China.

