

Jika sebelum ini kita lebih mengenali kamera aksi GoPro dalam merakam video aksi atau sukan lasak. Kali ini, Sony pula memperkenalkan produk terbarunya yang diberi nama Sony RX0 di pasaran tempatan khususnya kepada golongan videografik.

Di pameran IFA yang lalu, Sony telah mengumumkan RX0 kepada pengunjung di sana. Kamera dengan kerangka badan kompak ini direka khusus bagi mereka yang mementingkan ketahanan di samping kualiti video yang terbaik. Menggunakan sensor Exmor RS CMOS 15.3 Megapiksel, kamera ini boleh merakam objek yang bergerak pantas melalui fungsi shutter 1/32000 sesaat.

Kamera aksi sememangnya direka dengan lensa sudut lebar, oleh itu RX0 dilengkapi lensa ZEISS Tessar T 24mm F4. Menerusi teknologi BIONZ X, pemprosesan gambar dapat menghasilkan kualiti yang lebih tajam serta menyokong format RAW, JPEG, dan kebayakan jenis bentuk video.
Sifat luaran yang tahan lasak pula disokong kerangka badan yang kukuh di samping ia turut kalis air dan debu IPX8. Menggunakan tagline “Zero To Infinity”, kamera aksi Sony RX0 dijual pada harga RM3,199.

Dalam masa yang sama, Sony juga memperkenalkan Sony RX10 IV, sebuah kamera kompak dengan ciri setanding DSLR. Ia memiliki sistem autofocus ultra-pantas dengan kehadiran lensa optikal 25x zoom. Skrin sesentuh yang disediakan pula membolehkan pengguna mengubah imej yang difokus menggunakan jari.

Dikuasakan pemproses BIONZ X dengan sokongan rakaman video 4K, Sony RX10 IV ditawarkan pada harga RM7,999 sebuah.

Selain itu, bagi mereka yang suka akan rekaan handycam, Sony AX700 boleh dipertimbangkan. Ini kerana kamera ini dilengkapi ciri 4K HDR, lensa ZEISS 29mm, 273 poin autofocus, dan video gerak perlahan 960fps.

Dengan seberat hampir 1 kilogram, Sony AX700 4K HDR dijual pada harga RM7,299 dan ketiga-tiga model ini akan mula berada di kedai-kedai sah seluruh negara bermula penghujung Oktober ini.


