
IFA 2017 : Sony Tampilkan Kamera Tahan Lasak RX0

Tidak perlu disangkal mengenai kualiti dan prestasi kamera dari Sony. Kali ini mereka menunjukkan kebolehan yang sedia ada dengan mempersembahkan kamera video untuk kegunaan lasak yang dinamakan RX0. Kerangka kecil dan kompak kalis air ini membolehkan pengguna membawanya ke mana sahaja yang kamera lain tidak mampu lakukan.
Sony juga memuatkan sensor yang beprestasi tinggi dengan sensor 15.3 Megapiksel Exmor RS CMOS bersama pemproses berteknologi BIONZ X. Lensa sudut lebar ZEISS Tessar T 24mm F4 ini pula dapat menghasilkan rakaman berkualiti tinggi berbentuk RAW, JPEG dan semua jenis bentuk format video. Fungsi shutter 1/32000 saat berkebolehan merakam imej serta objek yang bergerak pantas dengan baik sekali.

Kamera ini juga boleh ditenggelamkan ke dalam air sehingga 10 meter dan ciri kalis gegaran pula membolehkan ia dijatuhkan pada ketinggian dua meter. Oleh itu, pengguna kini tiada halangan untuk menggunakannya di persekitaran yang berpasir, kotor mahpun dalam keadaan hujan lebat. Tetapi jika kerangkan luaran tambahan dipasang, Sony mengatakan RX0 ini mampu bertahan dengan lebih lasak lagi.

Selain daripada itu, ciri yang ada pada RX0 ialah ia boleh digunakan sebagai kamera tambahan yang menyokong kamera utama untuk merakam video dari sudut yang berbeza. Tambahan lagi, rakaman gerak perlahan juga boleh diambil sehingga 1000fps selain menyokong rakaman berkualiti 4K.
Sementara itu, harga Sony RX0 dan aksesori tambahan masih belum diumumkan namun, ia akan berada di pasaran Malaysia pada bulan Oktober kelak.

