

HMD Global hari ini secara rasminya melancarkan Nokia 8 di pasaran Malaysia. Telefon pintar flagship Nokia ini membawakan pelbagai ciri-ciri menarik yang dijangka akan memberi saingan kepada industri telefon pintar tempatan.
Nokia 8 hadir dengan skrin berukuran 5.3 inci Quad HD bersolusi 2560 x 1440p pada kerangka unibodi logam. Ia juga merupakan peranti Nokia yang pertama menggunakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 835. Memori yang dimuatkan pula adalah 4GB RAM dan 64GB ROM yang menyokong kad microSD tambahan.

Peranti ini juga dikatakan memakai kembali jenama sensor Zeiss di kamera belakang. Oleh itu, HMD Global telah meletakkan dwi kamera utama 13 Megapiksel dengan ciri Bothie untuk tujuan rakaman penstriman secara langsung khusus di media sosial. Sementara, kamera depan pula hadir dengan sensor 13 Megapiksel sangat sesuai untuk kaki swafoto.
Nokia 8 kini boleh didapati di kebanyakan pengedar sah seluruh negara pada harga RM2,299.

