
HARGA: RM4,599
Acer Malaysia telah memperkenalkan Acer Swift 5 versi terbaru pada penggal akhir tahun lalu. Ia masih memegang nama yang sama tetapi keberadaan kuasa dalamannya telah dinaik taraf. Kini ia menawarkan pengguna sebuah laptop yang berkuasa dengan berat yang minimal.
Bukan sekadar itu sahaja, ia juga dibina untuk golongan yang gemarkan kerja-kerja menaip serta hiburan mudah alih. Saiz yang kompak menjadikan Acer Swift 5 mudah dibawa ke mana-mana tanpa membebankan pengguna.
SPESIFIKASI
SET PEMBELIAN
PANDANGAN LUARAN
Fizikal dan aspek luaran yang ditawarkan pada Acer Swift 5 pada pandangan pertama kami ialah ia merupakan sebuah laptop yang premium. Rekaan yang dibina berasaskan bahan magnesium aloi dan plastik sekaligus telah mengurangkan berat keseluruhan badan.

Sebenarnya, ia sebuah laptop di bawah kategori Ultrabook yang dihasilkan nipis dan ringan. Jika pengguna seorang yang bekerja di pejabat mahupun sering bekerja di luar kawasan, Acer Swift 5 adalah model yang patut diberi perhatian.

Rekaan luaran Acer Swift 5 tidak mengecewakan kerana hampir setiap sudut laptop ini dibina dengan begitu kemas. Dengan kemasan warna kusam, ia turut menyerlahkan lagi nilai estetik. Kombinasi warna emas menjadikan ia tampak lebih mewah dan premium.

Selain itu, permukaan luaran dan bahagian pada papan kekunci tidak mudah memerangkap kesan cap jari. Untuk itu, kotoran pula amat mudah untuk ditanggalkan dengan hanya mengelap menggunakan kain.
SKRIN
Dari segi paparan pula, Acer Swift 5 menawarkan skrin yang terang dan jelas. Ia sesuai dijadikan medium untuk menonton video dan filem pada resolusi HD penuh.

Menerusi skrin sebesar 14-inci, ia lebih mesra pengguna kerana paparan laptop ini menyokong ciri sentuhan tanpa perlu menggunakan cursor pada trackpad.

Namun, kekurangan dapat dikesan menerusi panel atas yang tidak disertakan fungsi boleh lipat sebaliknya hanya boleh dipusingkan sehingga 180 darjah sahaja.


PAPAN KEKUNCI
Susun atur pada papan kekunci laptop Acer masih dikekalkan, ia lebih kurang sama seperti yang terdapat pada model Aspire dan Swift yang terdahulu. Sepanjang menaip menggunakan papan kekunci ini, kami merasakan jurutera Acer telah melakukan yang terbaik. Ini kerana, sentuhan pada setiap butang terasa agak solid dan mantap.
Bagaimanapun, jika diukur pada kelajuan menaip, ia jauh lebh pantas pada papan kekunci konvensional (penuh). Terdapat perkara yang menjengkelkan sewaktu menaip pada papan kekunci ini, bunyi bising yang dihasilkan boleh mengganggu ketenteraman orang di sekeliling. Oh ya! tidak lupa juga, papan kekunci pada laptop ini turut menyediakan lampu backlit LED berwarna putih.
TRACKPAD
Untuk trackpad pula, ia telah diposisikan di bahagian tengah untuk memudahkan pengguna mengakses menggunakan tangan kiri mahupun tangan kanan. Ia dibina dengan sempurna dan begitu sensitif kepada sentuhan.

Menariknya, pengguna juga boleh menatal trackpad ini menggunakan dua jari untuk mengezum masuk atau mengezum keluar tanpa perlu menyentuh panel skrin.
SPEAKER
Acer Swift 5 menyediakan lubang speaker di bahagian sisi bawah kiri dan kanan yang menawarkan pengalaman audio stereo. Posisi speaker yang hampir dengan telinga mampu memberikan pengalaman mengasyikkan bahkan ia tidak seperti laptop jenama lain yang menggunakan speaker pada bahagian papan kekunci.

Kekurangan dalam orentasi speaker ini pula tidak dapat didengar apabila pengguna meletakkan laptop di atas permukaan yang lembut seperti bantal dan tilam. Walaubagaimanapun, melalui teknologi Dolby Audio, prestasi audio pada Acer Swift 5 boleh dikatakan agak berkualiti malah mendengar lagu menerusi fon telinga juga rasa lebih realistik dengan bunyi bass yang mantap dan mendalam.
BICU SAMBUNGAN
Untuk sambungan pula, laptop ini tidak sarat dengan jenis-jenis bicu. Jadi ia bukanlah sebuah laptop yang versatil sebaliknya dengan adanya bicu-bicu asas, ia mudah untuk disambungkan kepada alat elektronik lain seperti memindahkan fail, memaparkan laptop pada televisyen, membaca dekoder, atau konsol gaming menggunakan bicu HDMI.


FUNGSI KESELAMATAN BIOMETRIK
Laptop premium tidak lengkap jika tiada sistem keselamatan biometrik. Jadi, dengan Acer Swift 5, ia menempatkan pengimbas cap jari untuk memudahkan pengguna mengakses laptop mereka dengan lebih pantas.

Dalam masa sama, ia juga dapat mengunci fail-fail di dalam sistem daripada dicuri oleh individu lain.

Pengguna perlu mendaftar Windows Hello pada bahagian tetapan sekiranya ingin menggunakan pengimbas cap jari
KAMERA
Kini tidak ramai pengguna menggunakan kamera depan pada laptop, sebaliknya lebih gemar menggunakan kamera pada telefon pintar.

Tetapi tidak semua begitu, untuk golongan profesional atau korporat, mereka lebih mementingkan kamera depan pada sebuah laptop untuk berkomunikasi dan berbincang mengenai hal pejabat.

Misalnya, menerusi Skype, kamera beresolusi tinggi yang dipadankan mampu memberikan imej yang jelas serta terang.
PRESTASI
Setelah melihat pada ciri-ciri fizikal Acer Swift 5, kita lihat pula kepada prestasi dalaman. Ujian pertama yang dilakukan menguji Acer Swift 5 dihidupkan serta dimatikan. Dengan berbekalkan jam randik digital, kami mendapati Acer Swift 5 melakukannya dengan baik sekali – kami agak terkejut kerana ia tidak mengambil masa yang lama untuk dioperasikan sebaik butang hidup ditekan.
Laptop ini pantas dengan masa 11.93 saat untuk dihidupkan dan 9.57 saat untuk dimatikan
Ujian seterusnya pula diteruskan kepada ujian penanda aras. Dengan pemproses Intel Generasi ke-8, keputusan single-core adalah sangat baik jika dibandingkan dengan keputusan multi-core.
Manakala untuk sistem grafik, ia menunjukkan prestasi di bawah jangkaan. Kami pasti jika kad grafik berjenama seperti NVIDIA atau AMD diguna pakai, keputusannya jauh lebih baik.
BATERI
Berdasarkan jadual yang tertera, Acer Swift 5 mengambil masa yang singkat untuk bateri dipenuhkan. Adapter pengecasan juga didatangkan dengan saiz yang kecil yang mudah dibawa.

Disebabkan laptop ini direka nipis dengan ruang yang terhad, bateri di belakang tidak boleh dicabut ataupun dibuka.
Pro
+ Ringan
+ Rekaan ergonomik dan moden
+ Binaan magnesium aloi yang tahan lasak
+ Papan kekunci dan trackpad yang mantap
+ Perkakasan dalaman terkini
+ Beroperasi dalam keadaan senyap
+ Tidak mengeluarkan haba yang keterlaluan
+ Sambungan Wifi yang pantas
Kontra
- Bicu yang terhad (tiada pembaca kad memori, LAN, etc)
-Bateri berkapasiti kecil
-Speaker tidak cukup kuat
-Paparan terhad pada resolusi 1080p (mungkin HD penuh+)
-Bunyi papan kekunci yang kuat
-Gandingan CPU dan GPU yang kurang sepadan
KESIMPULAN
Acer Swift 5 adalah pilihan yang sepatutnya dipertimbangkan, ia sangat sesuai digunakan untuk membuat kerja-kerja pejabat malah menikmati hiburan mudah alih. Jika anda inginkan laptop yang ringan, ini adalah pilihan yang ideal. Acer Swift 5 merupakan laptop produktiviti yang mampu melengkapkan kehidupan urban anda.





