Samsung Menjanjikan Keselamatan Dan Kualiti Dengan Model Galaxy Note Fan Edition

Pelancaran Galaxy Note Fan Edition di Malaysia baru-baru ini jelas menunjukkan komitmen Samsung terhadap peminat dan juga penggunanya di negara ini. Meskipun begitu, kemunculan model ini sedikit sebanyak masih menimbulkan perasaan skeptikal di kalangan pengguna berikutan insiden yang pernah berlaku sebelum ini. Bagi meyakinkan peminat dan juga pengguna jenama ini, Samsung telah mempertingkatkan jaminan kualiti model Galaxy Note Fan Edition dengan menawarkan bateri berkapasiti 3200 mAh yang telah melepasi piawaian ‘8-Point Battery Safety Check’.

Melalui proses ini, Samsung telah menjalankan peringkat pemeriksaan keselamatan yang sangat terperinci iaitu dari peringkat komponen, sehinggalah kepada kaedah pemasangan dan juga penghantaran peranti. Antara ujian ketelitian yang telah dijalankan termasuklah :

  1. Ujian Ketahanan : Ujian ekstrem yang berterusan pada bateri seperti proses pengecasan berlebihan, pendedahan kepada suhu melampau, dan juga ujian kebocoran pada bateri.

  2. Pemeriksaan Visual : Pemeriksaan secara visual terhadap bateri berdasarkan kepada kriteria yang telah dipertingkatkan.

  3. Ujian X-Ray : Pemeriksaan tambahan menggunakan sinar-x untuk melihat sebarang kelainan pada bahagian dalam bateri.

  4. Ujian Cas & Pelepasan Cas : Bateri akan menjalani ujian pengecasan dan pelepasan cas secara berterusan.

  5. TVOC : Ujian tambahan untuk memastikan integriti bateri.

  6. Ujian Penyingkiran : Meningkatkan ujian penyingkiran bateri untuk menilai kualiti keseluruhannya, termasuk kimpalan tab bateri dan juga penebat.

  7. Ujian Penggunaan : Ujian intensif yang mensimulasikan senario penggunaan sebenar.

  8. Ujian OCV : Memeriksa setiap peranti untuk sebarang perubahan dalam voltan sepanjang proses pembuatan dari peringkat komponen untuk menghasilkan peranti.

Selain daripada menggunakan komponen serta peranti Galaxy Note7 yang tidak digunakan di dalam inventori Samsung, Galaxy Note Fan Edition juga telah menggunakan semula komponen yang diproses semula dari peranti asal tersebut. Malah Samsung juga telah menunjukkan sokongannya dalam pemuliharaan alam sekitar melalui penajaannya dalam usaha memulihara Dana Hidupan Liar Dunia (WWF) di Asia Tenggara. Bermula dari November 2017 hingga Februari 2018 ini, sebahagian daripada hasil jualan Samsung Galaxy Note Fan Edition yang berharga RM2,599 itu akan disalurkan ke dalam dana tersebut bagi memacu kesedaran tentang usaha pemuliharaan dan melindungi alam sekitar.

You might also like