
Generasi baharu Acer Swift 5 dengan rekaan kerangka yang sangat nipis dan ringan kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, selepas ia diumumkan oleh Acer Malaysia buat pertama kalinya pada cuti perayaan Krismas yang lalu. Dengan ketebalan kerangka hanya 14.9mm dengan berat cuma 970g, Acer Swift 5 tampil dengan rekaan premium yang diperbuat daripada gabungan aloi magnesium-lithium dan juga aloi magnesium-aluminium.
Selain daripada rekaannya yang berjaya merangkul anugerah Good Design Awards 2017 di Taiwan, Acer Swift 5 ini juga turut menawarkan sokongan spesifikasi yang berkuasa dengan penggunaan pemproses Intel Core Generasi ke-8, RAM 8GB DDR4, dan juga ruang storan SSD sebesar 256GB. Ia turut menjanjikan pengalaman paparan yang terbaik melalui paparan skrin sentuh IPS berukuran 14 inci dengan resolusi 1920 x 1080 piksel yang dikombinasikan oleh teknologi Acer Color Intelligence.
Acer Swift 5 tersedia dalam dua model berbeza iaitu dioperasikan dengan i5 yang dijual pada harga RM3,799 dan versi i7 pula dijual pada harga RM4,799. Kedua-dua model ini sudah boleh dibeli melalui penjual Acer yang sah di seluruh negara.




