WhatsApp Business Untuk Peranti Android Kini Telah Dilancarkan Di Negara Terpilih

Aplikasi permesejan WhatsApp sememangnya sangat popular dengan mencatatkan lebih daripada 1 bilion pengguna aktif pada setiap hari. Kini nampaknya WhatsApp yang dimiliki oleh Facebook sejak tahun 2014 yang lalu, dilhat telah meluaskan sasaran pengguna dengan kemunculan aplikasi terbarunya iaitu WhatsApp Business yang memfokuskan kepada usahawan kecil.

Melalui sokongan aplikasi WhatsApp Business ini, komunikasi dengan pelanggan akan menjadi lebih efisien kerana ia turut menyokong fungsi pengesahan profil perniagaan, ruangan khas untuk menjawab soalan yang kerap ditanya (Q&A), ciri balasan mesej pantas, penghantaran teks mesej pemberitahuan secara automatik sekiranya waktu operasi perniagaan anda telah tamat, dan banyak lagi ciri menarik yang lain.

Buat masa ini WhatsApp Business hanya tersedia untuk peranti Android sahaja dan ia sudah boleh dimuat turun secara percuma di beberapa buah negara terpilih iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Mexico, Itali dan juga negara jiran kita iaitu Indonesia. Manakala negara-negara lain akan turut menerima WhatsApp Business dalam masa terdekat ini. Setakat ini tiada sebarang maklumat yang dikongsikan berhubung ketersediaan aplikasi ini untuk platform iOS.

You might also like