7 Trend Teknologi untuk Tahun 2018

Jika tahun 2017 merupakan tahun di mana kereta tanpa pemandu (self-driving), AI, Big Data dan matawang kripto mula menarik perhatian kita, tahun 2018 akan menjadi tahun di mana kebanyakan daripada teknologi ini akan muncul di pasaran, kata sekumpulan saintis dan penganalisa teknologi di Telenor Research.

Perubahan besar biasanya berlaku apabila peraturan, pilihan pengguna dan teknologi bertembung, apakah trend yang ketara dan penting untuk diberi perhatian pada tahun 2018 selain pengecaman wajah, perkhidmatan berdasarkan permintaan (on-demand) dan foto 360. Para saintis dan penganalisa teknologi dari Telenor Research telah menjangka kemunculan 7 trend teknologi seperti berikut:

 

1) Suapan Berita Media Sosial: Kurang Sosial, Lebih Media

Pengguna Facebook semakin kurang menghantar kiriman dan jumlah maklumat yang relevan di dalam suapan berita Facebook juga semakin menurun, seterusnya membuka jalan kepada lebih banyak kandungan profesional dan berbayar dengan kadar relevan yang berbeza. Pengguna juga lebih cenderung untuk bersikap lebih kritis dengan meningkatnya kesedaran mengenai “berita palsu” yang memasuki suapan berita mereka.

Mungkin disebabkan kurangnya kadar relevan, pengguna mula menggunakan platform lain untuk berita, untuk mengawal “kehadiran digital” mereka dan mendapatkan makluman terkini mengenai keluarga dan rakan-rakan mereka. Pada masa yang sama, Facebook akan terus berkembang sebagai platform komunikasi melalui aplikasi Messenger yang terkenal dan di dalam Facebook Group untuk koordinasi mikro.

 

2) Orang Ramai Akan Mula Membaca Terma & Syarat Dalam Talian

Pada pertengahan tahun 2018, Kesatuan Eropah (EU) akan mengemas kini Peraturan Perlindungan Data Am (GDPR) dalam beberapa cara yang penting. Peraturan ini akan mengukuhkan perlindungan data untuk semua orang di dalam EU, dengan matlamat untuk mengembalikan kawalan kepada pengguna swasta seperti kita. Ia juga mengubah cara-cara syarikat meminta kebenaran untuk menggunakan data anda.

Terma & Syarat perlu direka semula supaya pengguna tahu jenis data yang mereka berikan dan tujuannya. Penghasilan semula ini sangat penting dan kita akan menyaksikan pelbagai variasi Terma dan Syarat pada awalnya. Walaupun belum diketahui impaknya terhadap rantau Asia, tetapi boleh dijangka kesan sampingan akan dapat dilihat dalam masa beberapa bulan dan tahun akan datang. Syarikat-syarikat global seperti Google dan Facebook mungkin akan mengguna pakai Terma dan Syarat yang diperbaharui di peringkat global.

 

3) Artificial Intelligence & Deep Learning Memasuki Pasaran Am

Artificial Intelligence dan Deep Learning yang merupakan “keajaiban” yang membawakan kita kereta tanpa pemandu dan pengecaman wajah paling banyak diperkatakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tahun 2018 akan menyaksikan deep learning memasuki pasaran baru selain daripada syarikat gergasi Internet, teknologi ini akan diguna pakai dalam pelbagai industri termasuklah kesihatan, tenaga, pengangkutan dan telekomunikasi.

Mereka yang berjaya akan melakukannya melalui kerja keras, kes penggunaan yang difahami dengan baik, data latihan yang banyak, serta kemahiran dan pengetahuan untuk melatih model. Kegagalan perniagaan akan berpunca dari penggunaan yang disalah erti, jangkaan mengenai kebolehan deep learning yang tidak diuruskan dengan betul, pengendalian data yang tidak matang oleh pihak yang menganggap deep learning adalah sejenis alat ajaib yang boleh terus digunakan selepas dibeli dan bukan dibangunkan dari dalam.

Tahukah Anda? Apa itu Deep Learning?

Deep Learning ialah satu cabang Machine Learning yang berkaitan dengan memahami dunia melalui model yang besar dan jumlah data yang sangat besar, seterusnya membawa kita lebih dekat kepada artificial intelligence. Deep learning menyumbang kepada kemajuan automasi dalam pelbagai rangkaian tugas, termasuklah memahami imej, teks dan ucapan. Deep Learning menggunakan rangkaian saraf buatan yang besar, iaitu sistem perkomputeran yang diilhamkan daripada rangkaian saraf otak manusia.

 

4) Blockchain : Bolehkah Ia Melepasi Tembok Matawang Kripto?

Blockchain terkenal sebagai teknologi di sebalik Bitcoin, sejenis matawang digital yang tidak memerlukan badan tadbir urus pusat untuk menjamin transaksinya. Salah satu kelebihan blockchain ialah ia direka supaya tahan terhadap pengubahsuaian, namun ini juga mewujudkan cabaran dalam mempelbagaikan penggunaan praktikalnya. Untuk menghasilkan lebih banyak penyelesaian berasaskan blockchain yang pelbagai dan boleh digunakan, pemaju perlulah mengubahsuainya untuk mengatasi pepijat, mengemas kini teknologi dan membuat keputusan kejuruteraan yang menyeluruh.

Perjanjian industri mengenai perkara ini perlu dicapai, namun matlamat utama blockchain ialah untuk mengelakkan penubuhan badan tadbir urus pusat untuk menyelia transaksinya. Ini dikenali sebagai “paradoks tadbir urus blockchain”. Industri blockchain perlu mengatasi semua cabaran ini agar dapat memenuhi janjinya. Tahun 2018 akan menyaksikan debat ini menjadi semakin hangat dan diharap dapat menghasilkan penyelesaian untuk kita.

Tahukah Anda? Apa itu Blockchain?

Blockchain bukan Bitcoin, Blockchain ialah senarai rekod yang dikenali sebagai ‘blocks’ yang sentiasa berkembang dan dihubung serta dikawal menggunakan kriptografi. Setiap blok biasanya mempunyai petunjuk hash sebagai sambungan kepada blok sebelumnya, cop waktu dan data transaksi. Mengikut rekaannya, blockchain sememangnya tahan kepada pengubahsuaian data. Teknologi blockchain pertama sekali digunakan sebagai komponen utama Bitcoin, di mana ia berfungsi sebagai lejar awam bagi semua traksaksi. Penciptaan blockchain untuk Bitcoin menjadikannya matawang digital yang pertama, dan rekaan Bitcoin telah menjadi inspirasi untuk aplikasi teknologi blockchain yang lain.

 

5) 2018 Akan Meluaskan Realiti Anda

Pokémon Go mungkin terasa seperti sudah lama berlalu dan Augmented Reality kini bersedia untuk ke tahap seterusnya. Walaupun cermin mata AR Google tidak dirancang dalam masa terdekat, kita sepatutnya dapat melihat peningkatan jumlah aplikasi AR pada tahun 2018. Melalui versi terkini sistem operasi iPhone, Apple mempunyai sokongan yang siap dipasang untuk meluaskan (augment) apa sahaja yang dirakam oleh kamera telefon dengan maklumat tambahan.

Ini bermakna lebih banyak kerumitan dapat diselesaikan untuk pengaturcara komputer dan AR boleh digunakan oleh beratus ribu pemaju aplikasi iOS. Nantikan juga aplikasi navigasi yang menggunakan kamera dan menindih laluan anda pada imej dan permainan selain daripada Pokémon Go mula ditawarkan di kedai aplikasi berhampiran anda.

 

6) Sukan Olimpik Musim Sejuk & Virtualisasi Memulakan Penggunaan 5G

Kita akan dapat menyaksikan 5G digunakan semasa Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan pada 9 Feb nanti dengan peningkatan dalam penggunaan virtualisasi rangkaian, ketersediaan spesifikasi 5G yang pertama dan spektrum. Selain daripada melihat pembangunan dan pengujian ciri-ciri teknikal yang canggih, kes kegunaan dalam kehidupan sebenar akan turut ditunjukkan.

Kita juga mungkin akan menyaksikan peralatan dron yang dihubungkan dengan 5G merakam atlet ski melompat ke udara, pemandangan dari cerun dengan sudut pandangan yang dihubungkan dengan 5G. Sedutan penggunaan 5G ini akan memberi pengetahuan baru tentang bagaimana 5G boleh digunakan untuk memperkasakan industri vertikel dan memberikan kita lebih jawapan mengenai prestasi 5G. 2018 akan menjadi tahun di mana sejarah menyatakan 5G telah dilancarkan.

 

7) “Pakai” Dompet Anda

Pada tahun 2018, semakin banyak peralatan akan menjadi alat untuk membayar seperti kunci kereta, mesin layan diri, telefon pintar, kereta terhubung, jam sukan dan sebagainya. Artificial Intelligence dan IoT akan menjana perkhidmatan pelanggan yang peka kepintaran dan kandungan khusus, menghasilkan lebih banyak penyelesaian yang disesuaikan untuk membantu pelanggan dan syarikat membuat keputusan kewangan yang baik, menguruskan risiko dan mengurangkan kos.

Beberapa sistem bayaran peralatan baru akan diperkenalkan di peringkat global, seperti peningkatan perkhidmatan berasaskan perbankan IoT di rantau Asia Pasifik. Di Eropah, tahun hadapan akan menyaksikan pengenalan arahan Payment Service (PSD2) baru yang membenarkan akses kepada data pelanggan bank untuk pemain luar seperti syarikat baru teknologi kewangan. Ini membuka jalan untuk “perbankan terbuka” dan inovasi serta cabaran dalam model perniagaan dan ekosistem pembayaran telekomunikasi sedia ada. Keselamatan akan menjadi keutamaan untuk mencegah penjahat siber dari menggodam peralatan yang boleh melaksanakan pembayaran.

 

 

You might also like