

Honor hari ini mengumumkan telefon pintar honor View10 boleh mula di pra-tempah bermula 8 Januari ini di Malaysia. Peranti tercanggih pernah dikeluarkan oleh syarikat China ini menawarkan sebuah telefon pintar dengan integrasi kecerdasan buatan (AI) khusus bagi mereka yang gemarkan prestasi, hiburan, dan keseronokan tanpa batasan.

Honor Malaysia sebelum ini pernah mengumumkan kehadiran peranti ini di acara pelancaran 7X pada akhir tahun lalu. Beberapa ciri menarik menanti pengguna honor View10 antaranya cip pemproses Kirin 970, RAM sebesar 6GB, storan dalaman sebanyak 128GB, dan bateri berkapasiti 3,750mAh honor SuperCharge.
Rekaan luaran tidak kurang hebatnya dengah kehadiran paparan FullView Display bersaiz 5.99-inci HD penuh+ dengan padanan kerangka badan logam. Gabungan perkakasan dan perisian menjadikan peranti ini sememangnya berada di kelompok peranti kelas atasan.

Bagi mereka yang berminat, anda boleh pra-tempah honor View10 di gedung beli-belah atas talian Vmall, Lazada, 11street, dan Shopee untuk mendapatkan hadiah eksklusif iaitu honor band A2 dan kad penebusan Final Fantasy bernilai RM699. Tawaran ini hanya terhad kepada 1000 unit sahaja.
Peranti ini didatangkan dengan pilihan warna Biru dan Hitam pada harga RM2,099 seunit. Bagi mereka yang ingin membelinya di kedai, honor View10 mula berada di bilik pameran bermula 12 Januari 2018.

