Empat Model Terbaru Nokia Berjaya Didedahkan Melalui Aplikasi Kamera Nokia 5

Nokia 5 merupakan antara model yang telah dilancarkan secara rasmi di negara ini pada penghujung Mei 2017 yang lalu.

2017 merupakan tahun yang menyaksikan kembalinya jenama lagenda iaitu Nokia di dalam arena telefon pintar global. Malah pengguna di Malaysia sendiri telah mula menerima kemasukan pelbagai model terbaru Nokia dengan pelancaran Nokia 3310, 3, 5 dan 6 pada pertengahan tahun lepas.

Kehadiran tahun 2018 ini sudah tentunya akan menjadi tahun yang lebih rancak untuk jenama Nokia, sekaligus memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahukan telefon pintar pada harga kompetitif. Ini telah disahkan oleh seorang pembangun iaitu MySmartPrice melalui data yang berjaya diperolehinya melalui fail aplikasi kamera pada model Nokia 5.

Berdasarkan kepada fail APK itu, dia telah berjaya mengesahkan perancangan Nokia untuk melancarkan sebanyak empat model terbarunya pada tahun ini dengan kemunculan model Nokia 9, Nokia 7 Plus, Nokia 4 dan juga Nokia 1 yang dipercayai akan dikuasakan oleh Android Go. Memandangkan acara tahunan CES 2018 akan berlangsung tidak lama lagi, ia mungkin menjadi platform yang sesuai untuk Nokia mendedahkan keempat-empat model terbarunya itu.

Sumber: MySmartPrice

You might also like