
Tamat sudah penantian yang ditunggu-tunggu oleh peminat tegar Nokia seluruh Malaysia. Berlangsung di Subang Jaya, HMD Global, pemilik jenama ‘otai’ ini telah membawa masuk model Nokia 6, Nokia 5, Nokia 3 dan juga tidak ketinggalan telefon terlaris pernah dijual di dunia iaitu Nokia 3310 terbaru. Kesemua peranti ini telah diperkenalkan pertama kalinya di MWC 2017 di Barcelona pada bulan Februari yang lalu dan mendapat sambutan yang luar biasa.
Nokia terkenal dengan peranti yang berkualiti dari segi pembuatan, bahan binaan, dan juga ketahanan malah sehingga sekarang Nokia masih lagi mengekalkan ciri-ciri tersebut kepada semua peranti yang dikeluarkan. HMD komited untuk memanfaatkan warisan telefon Nokia supaya boleh dipercayai sekaligus menarik generasi baru peminat Nokia.
NOKIA 3
Telefon pintar kelas permulaan Nokia 3 menggunakan kerangka aluminium dengan paparan jenis IPS 5 inci Corning Gorilla Glass mampu mengurangkan pantulan cahaya yang tinggi, dilengkapi dengan kamera belakang dan depan 8 Megapiksel, RAM 2GB, storan 16GB dengan sokongan microSD (sehingga 128GB).
Cip pemproses MediaTek MTK 6737 ini dikuasakan daripada bateri 2,630mAh dan dua slot SIM, warna pilihan Tempered Blue, Matte Black, Silver dan Copper.
NOKIA 5
Masih lagi di kategori yang sama, Nokia 5 masih lagi menggunakan jenis paparan yang sama tetapi mendapat peningkatan dari segi saiz iaitu 5.2 inci dengan RAM 2GB, storan 16GB menyokong microSD (sehingga 128GB) dan set cip Snapdragon 430.
Kamera pada Nokia 5 ini hadir dengan 13 Megapiksel PDAF di belakang dan 8 Megapiksel AutoFocus pula di bahagian depan. Bateri berkapasiti 3,000mAh dimuatkan di dalam kerangka aluminium siri 6000 dengan warna pilihan Tempered Blue, Silver dan Matte Black.
NOKIA 6
Model yang teratas ini pula hadir dengan paparan 5.5 inci IPS HD penuh 1080p (403 ppi) Gorilla Glass, RAM sebanyak 3GB, storan dalaman 32GB dengan pemproses Snapdragon 430, turut dibekalkan dengan bateri berkapasiti 3,000mAh.
Kamera utama pada Nokia 6 diletakkan dengan 16 Megapiksel PDAF dibantu dua tona flash, manakala di kamera depan pula 8 Megapiksel AutoFocus. Fizikal luaran pula, dihasilkan daripada material aluminium siri 6000 dengan pilihan warna Matte Black, Silver, Tempered Blue dan Copper.
Selain itu, Nokia turut memperkenalkan Nokia 6 Edisi Terhad yang didatangkan dengan warna hitam berkilau Arte Black dengan peningkatan memori 4GB RAM dan 64GB storan.
Sistem operasi untuk Nokia 3 menggunakan Android 7.0 Nougat; Nokia 5 dan Nokia 6 pula menggunakan Android 7.1.1 Nougat.
NOKIA 3310
Siapa tidak kenal dengan model yang tahan lasak ini, Nokia 3310 dibina dengan nipis dan ringan, telefon ini pernah menjadi salah sebuah telefon yang terlaris pernah dihasilkan.
Dengan masa berbual 22 jam dan waktu menunggu selama sebulan dalam mod standby, Nokia 3310 diberi nafas baru supaya ia kelihatan lebih segar dan ceria.
Harga jualan untuk Nokia 3 ialah RM559, Nokia 5 pula RM799 manakala Nokia 6 pada harga RM999 dan Nokia 3310 ialah RM239. Untuk model edisi terhad Nokia 6 Arte Black, ia belum dinyatakan lagi oleh pihak Nokia. Model-model ini akan mula berada di pasaran Malaysia bermula pertengahan bulan Jun ini di kedai-kedai sah seluruh negara.
Pada pengalaman kami, peranti-peranti Nokia ini terasa cukup premium dan ‘solid’ semasa dipegang dan kualiti kamera agak baik dan memuaskan berbanding jenama-jenama lain di dalam kategori yang sama.