
CES 2018 : Sony Tampil Dengan Pelbagai Model Sistem Audio Rumah Terbaru
Sebagai satu jenama besar dalam industri peralatan audio global, Sony menjanjikan pengalaman menonton yang terbaik untuk aktiviti hiburan di rumah dengan pengumuman pelbagai model terbarunya. Antara produk sistem audio rumah yang diperkenalkan iaitu speaker kompak dengan sokongan Dolby Atmos dan juga tiga model bar bunyi.
SS-CSE Dolby Atmos Enabled Speakers
Speaker dengan rekaan kompak ini telah direka eksklusif untuk dipadankan dengan speaker dari siri CS yang sedia ada di pasaran. SS-CSE Dolby Atmos Enabled Speakers ini mampu menghasilkan pengalaman seperti menonton di panggung wayang apabila disambungkan ke set teater rumah iaitu pada speaker SS-CS3 ataupun SS-CS5. Tambahan speaker kompak yang diletakkan pada sudut menghala ke atas ini akan membantu dalam mendapatkan bunyi keliling yang jauh lebih baik.
HT-Z9F dan HT-X9000F Dolby Atmos Enabled Sound Bar


Sony Electronics turut mengumumkan kemunculan bar bunyi yang pertama di dunia dengan sokongan Dolby Atmos dan DTS:X melalui dua model terbarunya iaitu HT-Z9F dan juga HT-X9000F. Kedua-dua bar bunyi ini menjanjikan persekitaran audio sinematik yang sangat mengagumkan dengan bantuan teknologi Vertical Surround Engine yang dibangunkan secara eksklusif oleh Sony dalam menawarkan efek bunyi keliling tiga dimensi. Sokongan ciri 4K HDR dan Dolby Vision turut memastikan kedua-dua bar ini untuk mengekalkan kualiti gambar. HT-Z9F tampil dengan sokongan saluran 3.1, manakala HT-X9000F pula menyokong saluran 2.1 dan kedua-duanya mampu menyokong sehingga saluran 7.1.2.
Compact Sound Bar HT-S200F
Model HT-S200F pula merupakan bar bunyi yang hadir dengan rekaan kompak dengan keupayaan saluran 2.1 bagi menawarkan efek bunyi sinematik yang lebih berprofil rendah. Sokongan ciri S-Force PRO Front Surround dan juga Dolby Digital pada bar bunyi kompak ini memastikan bunyi keliling yang lengkap tanpa memerlukan speaker tambahan. HT-S200F akan mula dijual di Malaysia mulai Mei 2018 ini.


