Prestasi Samsung Galaxy S9+ Telah Disahkan Melalui Keputusan Benchmark

Selagi sesebuah model yang popular itu tidak dilancarkan secara rasmi, selagi itulah ada sahaja berita mengenai ketirisan yang berkaitan dengan peranti tersebut di Internet. Selepas perkongsian mengenai ketirisan panel depan dan juga reka bentuk Samsung Galaxy S9 dan Galaxy S9+, kini timbul lagi satu pendedahan berhubung prestasi model premium tersebut.

Hanya model Samsung Galaxy S9+ sahaja yang akan tampil dengan sokongan dwi lensa.

Walaupun Samsung dikatakan bakal mengumumkan model Galaxy S9 dan juga Galaxy S9+ dalam tempoh beberapa bulan lagi, keupayaan prestasi Samsung Galaxy S9+ yang menggunakan nama model SM-G965U1 telah berjaya didedahkan. Berdasarkan kepada keputusan ujian benchmark yang popular iaitu Geekbench, Samsung Galaxy S9+ telah mencatatkan keputusan yang sangat baik iaitu 2422 untuk skor single-core, dan mencapai sehingga 8351 untuk skor multi-core.

Keputusan ini sememangnya sangat baik memandangkan setakat ini skor terbaik pernah dicatatkan oleh Samsung untuk single-core tidak lebih dari 2000, manakala untuk skor multi-core pula sekitar 6500 sahaja. Sungguhpun begitu, keputusan ujian ini telah dicatatkan oleh Samsung Galaxy S9+ yang dikuasakan oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 845 dan bukannya pemproses Samsung Exynos yang akan diterima oleh peminat Samsung di negara ini. Tetapi pada pendapat eRing, prestasi kedua-dua pemproses ini mungkin tidak begitu jauh berbeza.

Sumber: PhoneArena

You might also like