
Doogee Memperkenalkan Mix 2 – Rekaan Skrin Hampir Penuh, Empat Kamera

Doogee syarikat dibawah organisasi China baru sahaja mengumumkan Doogee Mix 2 yang menawarkan rekaan skrin hampir penuh serta kehadiran empat buah sensor kamera bersamanya. Ini lantas menjadikan ia sebagai pesaing terdekat Huawei nova 2i yang dilancarkan di Malaysia minggu lalu.

Doogee Mix 2 adalah telefon pintar pertama Doogee yang mengenakan skrin dengan nisbah 18:9 bersaiz 5.99 inci HD penuh untuk kepuasan tontonan. Kerangka bodi juga dibina berasaskan kaca yang berkilau lebih kurang seperti Xiaomi Mi 6 terdahulu.
Dilengkapi dengan pemproses MediaTek Helio P25, ia juga menyediakan memori RAM sebanyak 6GB dan ruang storan 128GB juga menyokong kad microSD. Kamera di belakang pula menggunakan sensor 16 Megapiksel dan 13 Megapiksel f/2.0 bersama 2x zoom optikal. Manakala, perhatian terus diberi kepada dua kamera depan 8 Megapiksel yang boleh dijadikan sebagai pengimbas wajah untuk membuka peranti.

Bagi mengoperasikan Doogee Mix 2, ia dibekalkan dengan bateri sebesar 4,060mAh dan Android 7.0 Nougat. Di samping itu, dua slot SIM dan bicu USB Type-C melengkapkan ciri sambungannya.
Setakat ini, pihak Doogee belum lagi menyatakan harga yang dicadangkan termasuk ketersediaannya di pasaran.

