
Tidak dinafikan lagi bahawa sebelum ini jelas dapat dilihat bahawa Motorola lebih cenderung untuk memperkenalkan peranti mampu milik kelas permulaan dari siri C, E, M dan juga G keluarannya.
Setelah sekian lama siri X tidak diperkenalkan, nampaknya Motorola kini telah kembali membawakan siri tersebut untuk pasaran tempatan dengan kemunculan model Moto X⁴.
Jadi~apa kata kita lihat apakah ciri-ciri menarik model terbaru dari Motorola ini…
1) Rekaan Kaca Premium
Berbeza dengan rekaan model Motorola yang lain sebelum ini, Moto X⁴ boleh dianggap antara rekaan yang paling cantik pernah diperkenalkan setakat ini. Ini jelas dapat dilihat melalui rekaan kerangka logam serta panel belakang yang diperbuat daripada kaca dengan efek pantulan cahaya yang sangat cantik sekali.
2) Kalis Air dan Debu
Walaupun tampil dengan rekaan premium yang diperbuat daripada kaca, Moto X⁴ juga tidak mengabaikan aspek ketahanan kerana ia telah menerima pengiktirafan IP68 yang kalis air dan debu. Sungguhpun begitu, perlu diingatkan bahawa kerosakan yang disebabkan oleh air tidak akan dilindungi dengan jaminan waranti sama seperti peranti kalis air yang lain di pasaran.
3) Dwi Kamera
Moto X⁴ merupakan model kedua keluaran Motorola yang menampilkan sokongan dwi kamera selepas model Moto G5S Plus. Namun berbeza dengan konfigurasi kamera Moto G5S Plus yang menyokong lensa kedua untuk kesan bokeh (depth of field), Moto X⁴ pula menyediakan lensa kedua untuk membolehkan pengambilan gambar dengan sudut yang lebih luas.
4) Kapasiti Memori Besar
Ruang storan Moto X⁴ boleh dianggap setanding dengan sesetengah peranti flagship yang lain iaitu sebesar 64GB. Lebih menariknya, ia kini turut dilengkapi dengan kapasiti RAM LPDDR4 sebesar 4GB yang menjanjikan penggunaan memori yang lebih efisien dan pantas. Tidak cukup dengan itu, ia turut disediakan dengan slot kad microSD yang mampu menyokong sehingga 2TB.
5) Teknologi Pengecasan Pantas
Kapasiti bateri sebesar 3000mAh pada Moto X⁴ bukanlah yang terbesar boleh anda miliki di pasaran, tetapi kombinasi antara paparan skrin 5.2 inci HD Penuh dan juga pemproses Qualcomm Snapdragon 630 yang efisien tenaga mampu menjanjikan ketahanan yang baik. Malah peranti ini juga turut menyokong teknologi pengecasan pantas dari Motorola TurboPower.
6) Sambungan Bluetooth Ke Empat Peranti Audio
Walaupun hanya menyokong Bluetooth versi 4.2, Moto X⁴ membolehkan anda untuk menyambungkannya ke empat peranti audio berbeza secara serentak. Anda boleh menentukan untuk menetapkan kesemua empat peranti Bluetooth itu secara berasingan, ataupun menetapkannya sebagai satu sistem stereo.
Baca juga:
- Senarai Peranti Motorola Yang Mendapat Kemas Kini Android 8.0 Oreo
- Rasmi! Moto G5S Plus Dan Moto X4 Dipasarkan Di Malaysia
- Reviu Eksklusif Moto G5 Plus
- Reviu Eksklusif: Moto M

