
HARGA: RM1,299
Tidak dinafikan lagi bahawa siri G keluaran Moto merupakan peranti yang dikategorikan dalam kelas pertengahan. Apabila disebut sahaja tentang peranti kelas pertengahan ini, sokongan perkakasan dan juga kualiti pembuatannya sering menjadi taruhan kepada kebanyakan pengeluar. Tetapi dengan model terbaru Moto G5 Plus, ia jelas dapat dilihat telah menawarkan sokongan perkakasan dan juga kualiti kerangka yang boleh dianggap sangat baik dalam kelasnya.
Ini jelas dapat dilihat melalui sokongan kerangka logam yang terasa premium dan juga sokongan spesifikasi yang boleh dianggap antara yang terbaik boleh anda miliki pada harga jualan yang setanding dengannya. Apa yang lebih istimewanya, Moto G5 Plus juga boleh dianggap sebagai smartphone kelas pertengahan dengan sokongan kamera terbaik yang boleh anda miliki di pasaran setakat ini…
**Potongan harga sehingga 2 Oktober!!! Dapatkan pada RM1,099!!! CEPAT~~~
Penambahbaikan SPESIFIKASI Dua Generasi
PAKEJ PEMBELIAN
- Kotak Pembungkusan
- Moto G5 Plus & Skrin pelindung (siap dipasang)
- Adapter pengecas TurboPower (5V1.6A / 9V1.6A / 12V1.2A)
- Kabel USB
- Earphone
- Buku manual
- Pin slot kad
REKAAN KERANGKA
5.2 Inci HD Penuh
Walaupun tampil dengan penggunaan nama ‘Plus’ pada model ini, sebenarnya ia bukanlah merujuk kepada saiz paparan skrin kerana G5 Plus hanyalah berukuran 5.2 inci sahaja.
Sokongan paparan beresolusi 1080 x 1920 piksel sudah cukup untuk menjanjikan tahap keterangan yang baik dan juga paparan imej yang berkualiti.
Lubang Earpiece & Speaker
Mungkin anda tercari-cari di mana terletaknya speaker Moto G5 Plus ini bukan?! Sebenarnya speaker model ini terletak di lubang earpiece dan disebabkan oleh itulah rekaannya kelihatan agak besar bagi memastikan kelantangan audio yang dihasilkan tidak terjejas.
Selain itu, bahagian ini juga turut menempatkan satu sensor ambient light dan juga lensa swafoto.
Pengimbas Cap Jari
Bahagian bawah skrin telah menempatkan satu sensor pengimbas cap jari dengan rekaan mirip seperti butang Home jenis capacitive.
Kami sememangnya agak mengagumi kepantasan sensor ini kerana anda boleh terus mengaktifkan paparan skrin apabila peranti dalam mod sleep. Malah sentuhan selama beberapa saat pada sensor ini membolehkan skrin dimatikan.
Kamera Utama
Berbeza dengan rekaan kamera utama generasi sebelum ini, Moto G5 Plus menampilkan kemasan kamera utama yang telah diperbaharui rekaannya. Ia kini kelihatan seperti model terbaru Moto yang lain termasuklah Moto Z dan juga Moto Z Play.
Selain dari lensa 12 Megapiksel, bahagian bawahnya telah disediakan dengan Dual Real Tone Flash.
Slot Kad
Bahagian atas kerangka telah menempatkan satu slot kad yang perlu diakses menggunakan pin yang disediakan dalam pakej pembelian.
Apa yang menariknya tentang slot kad Moto G5 Plus ini adalah ia menampilkan dua slot kad bersaiz nano dan juga satu slot kad microSD yang berasingan, bukannya jenis hibrid seperti kebanyakan peranti lain.
Butang Kawalan
Jika sisi kiri kerangka tidak dilengkapi dengan sebarang butang, sisi kanannya pula disediakan dengan dua butang kawalan fizikal iaitu butang melaras volume dan juga butang kuasa.
Bagi membolehkan anda membezakan kedua-dua butang ini dengan lebih mudah tanpa melihatnya, butang kuasa memiliki tekstur pada permukaannya.
Port USB & Audio
Seperti biasa, bahagian bawah kerangka menempatkan satu port microUSB dan juga port 3.5mm audio jack.
Istimewanya, port USB ini juga turut menyokong fungsi USB OTG, tetapi agak mengecewakan masih lagi tidak dilengkapi dengan port terbaru jenis USB Type-C.
**EKSTRA!!!
Kalis Percikan Air
Dari segi ketahanan, Moto G5 Plus sememangnya lebih baik jika dibandingkan dengan kebanyakan peranti yang dijual dalam kelas harganya.
Ini kerana kerangkanya telah menerima lapisan nano (nano coating) yang memastikan ketahanan daripada percikan air seperti penggunaan di dalam hujan.
ANTARAMUKA ANDROID 7.0
Seperti yang kita sedia maklum, kesemua model Moto menampilkan paparan antaramuka Android yang asal dan lebih menariknya ia tidak memiliki bloatware atau aplikasi pihak ketiga yang berkemungkinan besar langsung tidak akan digunakan. Walaupun mengekalkan penampilan antaramuka asal Android, Moto G5 Plus masih dilengkapi dengan fungsi tambahan yang menarik iaitu Moto Display dan juga Moto Actions. Berikut adalah screenshots antaramuka yang telah kami ambil pada Moto G5 Plus yang telah dioperasikan dengan Android 7.0 Nougat…


Fungsi Istimewa
Moto Display
Sama seperti fungsi ‘Raise to Wake’ pada iPhone yang membolehkan paparan skrin diaktifkan apabila peranti diangkat, fungsi ‘Moto Display’ pada Moto G5 Plus juga menawarkan fungsi yang sama. Tetapi lebih menariknya, selain daripada kaedah mengangkat peranti untuk melihat masa ataupun notifikasi, anda juga boleh mengaktifkan paparan skrin dengan menggerakkan peranti tersebut.
Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh terus mengawal notifikasi yang diterima dengan meleretkan ikon notifikasi ke atas untuk mengakses notifikasi tersebut, atau meleretkannya ke bawah untuk menyingkirkannya, dan juga meleretkannya sama ada ke kiri atau ke kanan untuk mengabaikannya buat sementara waktu.
Moto Actions
Fungsi ‘Moto Actions’ membantu anda untuk menggunakan pergerakan pada peranti sebagai akses pantas terhadap fungsi dan juga tindakan ke atas peranti. Terdapat enam kaedah kawalan disediakan seperti berikut:
- One button nav – anda boleh menggunakan sensor pengimbas sebagai butang kawalan tipikal Android iaitu meleretkan jari ke kiri untuk Back, meleretkan jari ke kanan untuk Recent Apps, dan sentuh sekali untuk Home.
- Chop Twice for Flashlight – pegang peranti dan buat gerakan seperti memotong sebanyak dua kali untuk mengaktifkan lampu flash dan juga menutupnya samada dalam mod sleep ataupun standby.
- Twist for Quick Capture – pegang peranti dan pusingkan tangan anda sebanyak dua kali untuk mengaktifkan kamera ketika berada dalam mod sleep.
- Swipe to shrink screen – kini anda boleh mengaktifkan mod one-handed bagi membolehkan anda menggunakan peranti dengan menggunakan sebelah tangan. Untuk mengakses fungsi ini, anda hanya perlu meleretkan jari dari bawah ke atas skrin.
- Pick up to stop ringing – apabila fungsi ini diaktifkan, anda boleh mematikan nada dering apabila panggilan diterima dan mengaktifkan getaran dengan kaedah mengangkat peranti tersebut.
- Flip for Do Not Disturb – anda boleh meletakkan permukaan skrin ke bawah sekiranya tidak mahu diganggu kerana fungsi ini akan mematikan bunyi apabila anda menerima notifikasi ataupun panggilan masuk.
ZON UJIAN
Anda bercadang ingin membeli peranti terbaru dengan bajet di bawah RM1300?! Perkara utama yang sering dilakukan oleh pengguna sudah tentunya dengan membandingkan beberapa model yang dijual pada harga yang setanding di pasaran.
Jadi bagi membantu pengguna di luar sana untuk membuat keputusan, kami akan membandingkan Moto G5 Plus dengan beberapa model yang juga dijual pada harga RM1299 seperti berikut…
ZON UJIAN 1 : BENCHMARK
ULASAN…
Tidak dinafikan lagi bahawa keupayaan prestasi pemproses Qualcomm Snapdragon 625 yang disokong oleh Moto G5 Plus boleh dianggap agak baik secara keseluruhannya dan setanding jika dibandingkan dengan pesaingnya yang lain di pasaran. Apa yang pasti sokongan pemproses ini menjanjikan penggunaan tenaga yang lebih efisien dan sesuai untuk anda yang gemar memainkan permainan mudah alih.
ZON UJIAN 2 : PAPARAN SKRIN
ULASAN…
Berdasarkan kepada ujian paparan skrin seperti di atas, Moto G5 Plus menyokong tahap keterangan skrin yang paling terang berbanding pesaingnya yang lain. Sokongan paparan jenis IPS LCD serta skrin yang terang ini membolehkan pengguna untuk menggunakannya di bawah pancaran cahaya matahari yang terik dengan lebih baik. Malah ia juga menjanjikan sudut pandangan yang terbaik.
ZON UJIAN 3 : KEPANTASAN KAMERA
ULASAN…
Mungkin kepantasan mengambil gambar menggunakan Moto G5 Plus bukanlah yang terbaik jika dibandingkan dengan sesetengah pesaingnnya yang lain, tetapi dari segi skor kelajuan keseluruhan ia jauh mendahului. Sungguhpun begitu kualiti hasil gambar Moto G5 Plus juga boleh dianggap sangat baik, malah ia setanding dengan kualiti penggambaran peranti yang jauh lebih mahal darinya.
ZON UJIAN 4 : KEKUATAN SPEAKER
ULASAN…
Sekiranya anda sangat mementingkan audio yang lantang, Moto G5 Plus adalah pilihan yang terbaik terutamanya jika anda gemar mendengar muzik atau radio FM menggunakan earphone. Ini kerana tahap kekuatan audio yang dihasilkan adalah sangat tinggi, malah kedudukan speaker mono yang terletak di panel depan iaitu di lubang earpiece juga memastikan pengalaman berhibur yang lebih baik.
ZON UJIAN 5 : BATERI
Ketahanan Bateri (Jam)
| Moto G5 Plus | 10 jam 26 minit |
| Huawei P10 Lite | 8 jam 23 minit |
| Lenovo P2 | 11 jam 44 minit |
| Meizu MX6 | 10 jam 00 minit |
Kepantasan Mengecas 0% Hingga 100% (Minit)
| Moto G5 Plus | 106 minit |
| Huawei P10 Lite | 138 minit |
| Lenovo P2 | Tiada maklumat |
| Meizu MX6 | 86 minit |
ULASAN…
Walaupun menyokong kapasiti bateri yang sama besar dengan Huawei P10 Lite, Moto G5 Plus berupaya menawarkan ketahanan bateri yang jauh lebih lama. Bahkan sokongan teknologi TurboPower juga mampu mengecas peranti tersebut dengan sangat cepat berbanding Huawei P10 Lite, iaitu hampir 30 minit beza masanya.
HASIL GAMBAR


KOMEN
Sekiranya anda bercadang untuk memiliki smartphone baru dengan bajet harga lebih kurang RM1300, pemilihan Moto G5 Plus sememangnya boleh dianggap antara yang berbaloi untuk dimiliki. Ini kerana selain menawarkan kerangka logam kukuh dan kelihatan premium, ia juga menawarkan sokongan spesifikasi yang boleh dianggap antara yang terbaik di dalam kelasnya. Lebih istimewanya walaupun dijual pada harga mampu milik, ia telah menggunakan lensa kamera dari Sony Exmor RS IMX362 yang setanding dengan smartphone dari kelas premium seperti ASUS ZenFone 3 Zoom dan juga HTC U11 yang menjanjikan hasil gambar yang sangat baik. Jadi jika anda sangat mementingkan kualiti penggambaran yang sangat baik, Moto G5 Plus adalah pilihan yang terbaik berbanding pesaingnya yang lain. Selain itu, ia juga menampilkan sokongan dua slot kad SIM dan juga satu slot kad microSD yang berasingan. Malah aplikasi radio FM juga turut menyokong fungsi rakaman yang agak sukar ditemui pada peranti lain.
Namun begitu Moto G5 Plus masih memiliki kekurangan serta kelemahan sebagai sebuah peranti mampu milik seperti paparan skrin dengan saiz bezel yang agak besar, tidak seperti kebanyakan peranti lain yang mula menerapkan rekaan bezel yang nipis. Malah ia juga menampilkan rekaan permukaan lensa yang besar dan timbul dari panel belakangnya, ia juga masih lagi menggunakan port microUSB. Aspek rakaman videonya juga sedikit mengecewakan kerana format 4K tidak menyokong penstabilan imej EIS dan juga format rakaman 60fps.










