REVIU EKSKLUSIF: HTC U11, Spesifikasi Berkuasa dengan Keunikan ‘Edge Sense’

HARGA: RM3,099

Sekiranya anda tidak begitu mementingkan trend semasa yang cuba diketengahkan oleh pengeluar pada masa kini yang menampilkan nisbah skrin ke kerangka yang sangat besar sebagaimana yang dapat dilihat pada peranti premium Samsung dan LG, HTC U11 mungkin patut diberi perhatian. Ini kerana HTC U11 bukan sahaja kelihatan sangat memukau dengan kemasan panel belakang ‘Liquid Surface’ yang sangat cantik, tetapi ia juga boleh dianggap antara peranti yang menawarkan spesifikasi paling berkuasa yang boleh anda miliki di pasaran buat masa ini.

Selain sokongan speaker stereo dengan sentuhan audio HTC BoomSound HiFi Edition, keupayaan penggambarannya juga telah diiktiraf sebagai yang terbaik di pasaran. Tidak cukup dengan itu, sokongan fungsi unik iaitu ‘Edge Sense’ juga membolehkan anda mengakses fungsi ataupun aplikasi dengan lebih cepat menggunakan kaedah ‘memicit’ pada bahagian tepi kerangka HTC U11…

 

SPESIFIKASI

PLATFORM
  • Android 7.1 Nougat dengan HTC Sense
SLOT KAD
  • SIM 1: nano SIM
  • SIM 2: nano SIM / microSD
CIPSET
  • Qualcomm MSM8998 Snapdragon 835
  • Octa-core (4x 2.45 GHz Kryo + 4x 1.9 GHz Kryo)
  • Adreno 540 @ 710MHz
  • 10nm FinFET LPE
MEMORI
  • ROM: 128GB (UFS 2.1)
  • RAM: 6GB (LPDDR4)
  • microSD: sehingga 2TB (slot SIM 2)
  • Flex Storage: sokong
PAPARAN
  • 5.5 inci Super LCD 5 / 3D Corning Gorilla Glass 5
  • 1440 x 2560 piksel (~534ppi)
DIMENSI
  • 153.9 x 75.9 x 7.9mm
  • 169g
KAMERA UTAMA
  • 12 Megapiksel (HTC UltraPixel 3)
  • Sony Exmor RS IMX362
  • 1.40 μm (1/2.55″)
  • Aperture f/1.7
  • Optical Image Stabilization (OIS)
  • UltraSpeed Auto Focus
  • Dual LED Flash
  • Mod Kamera: HDR Boost, Panorama, Pro (RAW)
  • Pemasa: 2s, 5s, 10s
  • Mod Video: Hyperlapse, Slow Motion
  • Audio Rakaman Video: Hi-Res, 3D, Acoustic Focus
  • Format Video: 4K, 1080p, 720p, 480p, MMS
KAMERA DEPAN
  • 16 Megapiksel
  • Aperture f/2.0
  • Mod Kamera: Selfie Panorama, Makeup
  • Pemasa: 2s, 5s, 10s
  • Mod Video: Selfie Video
  • Audio Rakaman Video: Hi-Res, 3D
  • Format Video: 1080p, 720p, 480p, MMS
BATERI
  • 3000 mAh
  • Quick Charge 3.0
  • Mod Penjimatan Bateri: Power Saving, Extreme Power Saving
  • Masa Menunggu (3G/4G): sehingga 14 hari
  • Masa Berbual (3G/4G): sehingga 24.5 jam
AUDIO
  • HTC BoomSound HiFi Edition (Speaker Stereo)
  • HTC USonic dengan Active Noise Cancellation
  • Rakaman Audio 3D dengan 4 mikrofon
  • Rakaman Audio Stereo Hi-Res
SAMBUNGAN
  • WiFi 802.11 a/b/g/n/ac
  • Bluetooth v4.2
  • NFC
  • USB Type-C (USB 3.1)
  • Chromecast, DLNA, AirPlay, Miracast
SENSOR
  • Ambient Light Sensor
  • Proximity Sensor
  • Motion G Sensor
  • Compass
  • Gyro Sensor
  • Magnetic Sensor
  • Sensor Hub
  • Edge Sensor
  • Pengimbas Cap Jari
PENGLOKASIAN
  • GPS, A-GPS, GLONASS, Beidou
PENGIKTIRAFAN IP
  • IP67 (kalis air sedalam 1 meter selama 30 minit)

 

PAKEJ PEMBELIAN

  1. HTC U11
  2. HTC U11 Clear Shield (sarung pelindung)
  3. Adapter USB Type-C ke 3.5mm Audio Jack
  4. HTC Rapid Charger 3.0
  5. Pin Slot Kad
  6. Kabel USB Type-C
  7. Kain Pengelap
  8. HTC USonic Adaptive Earphones

 

PENAMPILAN FIZIKAL

  1. Butang kuasa
  2. Butang melaras volume
  3. Mikrofon
  4. Kamera depan
  5. Sensor Proximity
  6. HTC BoomSound edisi HiFi
  7. LED Notifikasi
  8. Slot kad SIM / microSD
  9. Edge Sense
  10. Butang Back
  11. Port USB Type-C
  12. Butang Home / pengimbas cap jari
  13. Butang Recent Apps
  14. Dual LED Flash
  15. Kamera utama
  16. Mikrofon

 

Lensa Depan

Selain kamera depan beresolusi 16 Megapiksel, bahagian ini turut menempatkan lubang earpiece yang juga berfungsi sebagai speaker, lubang mikrofon dan juga lampu LED notifikasi.

 

Pengimbas Cap Jari

Penyediaan sensor pengimbas cap jari jenis kapasitif pada HTC U11 sememangnya menarik kerana ia juga berfungsi sebagai butang Home. Manakala di kedua-dua sisi sensor atau butang tersebut turut menempatkan butang Back dan Recent Apps dengan nyalaan LED berwarna putih.

 

Butang Kawalan

Seperti biasa sisi kanan kerangka telah menempatkan dua butang kawalan fizikal iaitu butang melaras volume dan juga butang kuasa. Lebih menariknya, butang kuasa memiliki tekstur pada permukaannya dan kamera boleh diakses dengan pantas apabila butang tersebut diklik sebanyak dua kali.

 

Slot Kad

Slot kad terletak di bahagian atas kerangka dan ianya boleh diakses dengan menggunakan pin khas yang disediakan di dalam pakej pembelian. Slot kad jenis hibrid ini boleh menyokong kad nano SIM pada slot 1 dan kad nano SIM ataupun microSD pada slot 2.

 

Kamera Utama

Dengan ketebalan kerangka 7.9mm, lensa utama kelihatan sedikit timbul dari permukaan panel belakang dan ia hanya dibantu dengan dua buah LED Flash.

 

Port USB Type-C

Bahagian bawah kerangka menempatkan port USB Type-C dan juga mikrofon serta satu lagi lubang speaker dengan sentuhan eksklusif HTC BoomSound HiFi Edition yang sangat berkualiti.

 

11 PERKARA PERLU ANDA KETAHUI TENTANG HTC U11

01# Permukaan Panel Kaca 3D

Jika kebanyakan pengeluar menampilkan rekaan paparan skrin melengkung jenis 2.5D, HTC U11 menampilkan rekaan kaca 3D pada panel depan dan belakang dengan lengkungan yang lebih menyerlah pada sekeliling skrin. Selain kelihatan lebih menarik dan premium dengan rekaan yang simetri, lengkungan sebegini turut memberikan rasa sentuhan serta pegangan yang jauh lebih selesa.

Apa yang lebih istimewanya, panel belakang dengan sentuhan permukaan seperti cermin yang dikenali sebagai Liquid Surface ini kelihatan sangat memukau. Namun disebabkan oleh permukaan berkilat ini, ia sangat mudah meninggalkan kesan cap jari yang memerlukan penjagaan yang lebih rapi.

 

02# Edge Sense

Tidak dinafikan lagi penampilan fizikal HTC U11 tidaklah sehebat atau semoden pesaingnya yang lain yang menawarkan paparan skrin jenis infiniti dengan saiz bezel yang sangat nipis, namun tanpa anda sedari, HTC U11 sebenarnya memiliki keunikan dan juga keistimewaannya yang tersembunyi pada sisi kerangka yang dikenali sebagai Edge Sense.

Dengan adanya fungsi ini, anda hanya perlu menggenggam HTC U11 untuk mengaktifkan aplikasi atau melaksanakan tindakan seperti mengambil gambar, mengaktifkan aplikasi, mengambil screenshot, menghidupkan lampu suluh dan banyak lagi.

 

03# Kalis Air & Debu

Akhirnya HTC akur dengan trend pengeluar pada masa kini dan juga permintaan pengguna terhadap fungsi kalis air dan debu pada model keluarannya.

Dengan pengiktirafan IP67 yang diterima oleh HTC U11, anda kini berupaya menggunakannya di dalam air pada kedalaman 1 meter selama 30 minit sama seperti kebanyakan peranti premium yang lain di pasaran seperti Samsung Galaxy S8 ataupun Apple iPhone 7.

 

04# HTC BoomSound HiFi Edition

Sokongan speaker stereo pada peranti premium keluaran HTC sememangnya telah diperakui oleh banyak pihak sebagai antara yang terbaik dan berkualiti. Ini jelas dapat dilihat melalui penambahbaikan teknologi HTC BoomSound HiFi Edition yang menjanjikan 100% bunyi yang lebih lantang dan juga peningkatan sehingga 150% dalam aspek Dynamic Range Audio.

Lebih menariknya, anda juga bebas menukarkan mod audio yang akan dihasilkan sama ada Music ataupun Theater. Bahkan jika dibandingkan dengan model HTC sebelum ini, HTC U11 menawarkan kualiti bunyi yang jauh lebih kuat, lebih jelas dan memiliki bunyi bes yang sangat baik. Pada pendapat kami, kualiti bunyi dan tahap kelantangan audio HTC U11 juga sukar ditandingi oleh peranti dengan sokongan speaker stereo yang lain di pasaran.

 

05# Prestasi Terhebat

Kehebatan HTC U11 juga jelas dapat dilihat pada aspek prestasinya dengan sokongan pemproses paling berkuasa di pasaran setakat ini iaitu Qualcomm Snapdragon 835. Ini telah disempurnakan lagi dengan kehadiran memori dalaman yang sangat besar mencecah 128GB dengan kapasiti RAM sebesar 6GB.

Sokongan cip memori jenis UFS 2.1 menjanjikan kepantasan pemindahan data, manakala RAM LPDDR4 pada HTC U11 pula memastikan kelancaran fungsi multi-tasking yang efisien. Sekiranya anda sangat mementingkan aspek prestasi dengan sokongan pemproses terkini, HTC U11 merupakan salah satu model terawal yang memasuki pasaran tempatan selain daripada beberapa buah model lagi seperti berikut:-


Fakta Menarik!!!
Untuk pengetahuan anda, hanya beberapa negara sahaja menerima HTC U11 variasi 128GB dengan RAM 6GB. Malah lebih menariknya, kesemua HTC U11 hadir dengan sokongan cip memori pantas UFS 2.1 pada kesemua unit yang dijual. Berikut adalah senarai pasaran yang ada terjual HTC U11 variasi 128GB/RAM 6GB:

  • China
  • Taiwan
  • Malaysia
  • Singapura
  • India
  • Hong Kong
  • Rusia
  • Arab Saudi
  • Filipina

 

06# HTC Sense Companion

HTC Sense Companion merupakan satu fungsi terbaru yang diperkenalkan oleh HTC pada HTC U11. Fungsi ini ternyata pintar kerana dari masa ke semasa, ia akan mempelajari daripada anda dan seterusnya akan memberi cadangan atau maklumat yang diperlukan berdasarkan minat serta aktiviti harian anda.

HTC Sense Companion akan memaparkan notifikasi dalam bentuk ikon yang akan dipaparkan apabila terdapat cadangan ataupun aktiviti yang ingin dikongsikan dengan anda.

 

07# Kamera Dengan Pengiktirafan Tertinggi

Akhirnya takhta pengiktirafan tertinggi kamera smartphone yang sebelum ini dipegang oleh Google Pixel telah dirampas oleh HTC U11 dengan mencatatkan skor paling tinggi setakat ini dengan catatan 90 poin oleh DxOMark. Selain daripada sokongan multi-axis optikal serta sistem penstabilan optikal dan elektronik, HTC U11 turut menyokong fungsi fokus auto yang sangat pantas walaupun tidak dilengkapi dengan bantuan fokus laser.

Tidak cukup dengan itu, ia juga hadir dengan fungsi HDR Boost tanpa lag bagi memperbaiki julat pendedahan dinamik (dynamic exposure range) untuk kamera dan juga video supaya aspek white balance diperbaiki, mengurangkan isu noise dan juga mengekalkan kualiti gambar dikekalkan.

 

08# Kamera Swafoto UltraPixel

Trend swafoto yang semakin digilai oleh pengguna telah mendorong HTC untuk menyediakan kamera depan yang lebih berkualiti dengan sensor 16 Megapiksel. Sokongan teknologi UltraPixel yang sensitif pada pencahayaan untuk kesesuaian aktiviti swafoto sama ada siang ataupun malam.

Sebagaimana kamera utama, ia turut dilengkapi dengan fungsi HDR Boost dan juga pengurangan noise agar hasil gambar tampil lebih memukau.

 

09# HTC USonic

Selain daripada kehebatan teknologi HTC BoomSound untuk speaker, HTC U11 juga tidak mengabaikan kualiti audio apabila disambungkan ke earphone dengan pengenalan versi terbaru HTC USonic.

Kini dengan gabungan fungsi Active Noise Cancellation beserta keupayaan untuk menala audio mengikut kesesuaian pendengaran anda, HTC USonic mampu menghasilkan kualiti audio terbaik kerana sokongan teknologi mirip seperti sonar ini mampu disesuaikan profil bunyi unik untuk setiap penggunanya.

Apa yang menariknya, setiap pembelian HTC U11 akan turut didatangkan sekali dengan earphone HTC USonic.

 

10# Rakaman Video Dengan Bunyi 360°

Selain daripada kualiti video yang cantik, HTC U11 juga turut menitikberatkan kualiti audio yang akan direkod apabila anda merakam video. Dengan kedudukan mikrofon yang telah ditempatkan bagi memastikan audio mampu dirakam dari pelbagai arah dan juga teknologi Acoustic Focus, HTC U11 mampu menghasilkan rakaman audio 3D yang lebih berkualiti.

Bahkan teknologi Acoustic Focus juga membolehkan anda mendapatkan bunyi yang lebih spesifik apabila fungsi zum diaktifkan pada subjek yang diingini. Ini bermaksud hanya audio yang dihasilkan oleh subjek utama yang telah dizum sahaja akan difokuskan dan audio yang dihasilkan oleh subjek lain akan diperlahankan rakamannya.

 

11# HTC Rapid Charge 3.0

Tidak dinafikan bahawa kapasiti bateri sebesar 3000mAh pada HTC U11 boleh dianggap agak kecil bagi sebuah peranti dengan sokongan paparan skrin berukuran 5.5 inci. Namun begitu, peranti ini boleh terus memiliki tenaga yang mencukupi apabila diperlukan kerana ia dilengkapi dengan teknologi pengecasan pantas HTC Rapid Charge 3.0 yang berasaskan kepada teknologi Quick Charge 3.0 dari Qualcomm.

Malah sokongan pemproses Qualcomm Snapdragon 835 yang pertama hadir dengan semikonduktor 10nm ini turut menjanjikan penggunaan tenaga yang lebih efisien, sekaligus menjanjikan ketahanan bateri yang lebih baik. Ini jelas dapat dilihat melalui ketahanan bateri HTC U11 berbanding dengan kebanyakan peranti lain di pasaran yang memiliki bateri lebih besar darinya.

 

HASIL GAMBAR

HDR
Low-Light (Outdoor)
Low-Light (Indoor)

 

KOMEN

KELEBIHAN
  • Sokongan spesifikasi yang boleh dianggap antara yang terbaik boleh dimiliki di pasaran kerana ia menyokong pemproses terkini, kamera berkualiti, teknologi ‘Edge Sense’ yang unik, speaker stereo dengan audio HTC BoomSound HiFi Edition yang sangat berkuasa dan banyak lagi.
  • Rekaan yang sangat premium dengan panel depan 3D dan juga kemasan kaca pada panel belakang dengan kemasan warna ‘Liquid Surface’ yang sangat memukau.
  • Walaupun hanya menyokong bateri berkapasiti 3000mAh, ketahanan bateri HTC U11 boleh dianggap sangat baik jika dibandingkan dengan peranti lain yang menyokong kapasiti bateri yang jauh lebih besar.
  • HTC Sense menawarkan antaramuka yang lancar dan berbeza dengan sesetengah peranti premium yang lain, ia tidak didatangkan dengan aplikasi bloatware.
  • Menyokong slot kad memori microSD, sekaligus menjanjikan ruang storan yang jauh lebih besar, sesuai untuk pengguna yang sangat aktif.

 

KEKURANGAN
  • Fungsi ‘Edge Sense’ sememangnya unik kerana memberi akses pantas untuk fungsi mahupun aplikasi, tetapi kami merasakannya lebih kepada gimik dan penggunaannya juga kurang sesuai untuk pengguna yang memiliki tangan yang kecil ataupun licin.
  • Panel belakang yang diperbuat daripada kaca ini sememangnya sangat cantik, tetapi ia sangat mudah menerima kesan cap jari dan sangat berisiko tinggi untuk retak apabila terjatuh jika dibandingkan dengan panel logam.
  • Tidak lagi dilengkapi dengan port 3.5mm audio jack dan ini secara tidak langsung membataskan anda untuk mendengar muzik sambil mengecas peranti.
  • Walaupun hadir dengan panel belakang yang diperbuat daripada kaca, agak mengecewakan kerana HTC U11 masih tidak menyokong teknologi pengecas tanpa wayar.
  • Siri U yang diperkenalkan oleh HTC tidak lagi menampilkan rekaan popular unibodi logam sebagaimana siri One sebelum ini.

 

 

 

You might also like