
Apple Labur USD390 Juta Untuk Menghasilkan Teknologi Laser Berasaskan Sensor 3D Pada iPhone

Apple dilaporkan telah melaburkan sebanyak USD390 juta atau bersamaan kira-kira RM1.57 bilion ke Finisar Corporation, iaitu sebuah syarikat yang menghasilkan subsistem dan juga komponen komunikasi optikal. Pelaburan ini dibuat sebagai sebahagian daripada program baru Apple untuk menjana penciptaan pekerjaan di kalangan pengeluar di Amerika Syarikat.
Finisar Corporation telah dipilih oleh Apple dalam usaha untuk menghasilkan teknologi laser berasaskan sensor 3D yang akan digunakan oleh iPhone nanti. Melalui teknologi laser yang akan dipancarkan pada bahagian belakang iPhone, ia dipercayai mampu mengukur kedalaman ruang dengan lebih tepat untuk penggunaan di dalam aplikasi Realiti Gabungan (Augmented Reality).

Sungguhpun begitu, buat masa ini masih belum dapat disahkan lagi sama ada teknologi laser berasaskan sensor 3D ini akan mula diperkenalkan pada iPhone keluaran tahun 2019 nanti ataupun tidak. Setakat ini, Apple telahpun menggunakan teknologi laser pada lensa depan iPhone X melalui fungsi Face ID, Animoji dan juga mod swafoto potret.
Sumber: TheVerge

