OnePlus 5T Tampil Dengan Paparan Skrin 18:9 Serta Sistem Kamera Dwi Lensa Baharu

Sebagaimana yang kita sedia maklum, ketirisan gambar dan juga spesifikasi yang disokong oleh peranti terbaru OnePlus 5T sudahpun tersebar meluas di Internet sebelum ia dilancarkan secara rasmi lagi, dan kini akhirnya ia telah dilancarkan secara rasmi untuk tatapan umum. Sama seperti model OnePlus 5, model terbaru OnePlus 5T turut dikuasakan dengan Qualcomm Snapdragon 835 dan juga RAM berkapasiti 8GB LPDDR4X.

OnePlus 5T yang merupakan model penambahbaikan untuk model OnePlus 5 dilihat telah menerima beberapa pembaharuan yang lebih menarik bukan sahaja dari segi rekaan, malah pada sokongan spesifikasinya.

6.01″ Optic AMOLED

Pembaharuan paling ketara yang dapat dilihat pada model OnePlus 5T adalah sokongan skrin Optic AMOLED yang lebih besar berukuran 6.01 inci dengan nisbah paparan moden iaitu 18:9. Apa yang lebih menariknya, sokongan paparan skrin dengan bingkai yang minimum ini membolehkan OnePlus 5T untuk tampil dalam saiz kerangka yang tidak jauh berbeza dengan saiz kerangka OnePlus 5 yang memiliki paparan skrin berukuran hanya 5.5 inci.

Malah OnePlus 5T turut didatangkan dengan ciri Sunlight Display yang mampu mengubah tahap keterangan dan kontras paparan skrin secara automatik. Ini bermakna anda berupaya melihat paparan imej, mengambil gambar, merakam video ataupun bermain permainan di bawah pancaran cahaya matahari yang terang.

Sistem Kamera Dwi Lensa Baharu

Jika sebelum ini OnePlus 5 dilengkapi dengan sistem kamera dwi lensa beresolusi 16 Megapiksel dengan sokongan lensa kedua untuk ciri 2x zum optikal, OnePlus 5T sebaliknya menampilkan kombinasi dwi lensa beresolusi 16 Megapiksel dan 20 Megapiksel. Kini lensa kedua OnePlus 5T tidak lagi menyokong ciri zum optikal, sebaliknya ia telah dioptimakan untuk penggambaran di dalam persekitaran kurang cahaya dan juga mod potret (bokeh) yang lebih baik.

Pengimbas Wajah

Memandangkan saiz skrin telah mendominasi ruangan pada panel depan, sensor pengimbas cap jari telah dipindahkan pada bahagian panel belakang OnePlus 5T. Sebagai tambahan, ia turut disertakan sekali dengan ciri pengimbas wajah yang boleh digunakan untuk mengakses peranti yang telah dikunci.

Selain daripada ciri-ciri baharu yang dinyatakan di atas, OnePlus 5T dioperasikan dengan antaramuka Oxygen OS 4.7 berasaskan Android 7.1.1 Nougat. Malah ia juga dilihat masih mengekalkan penyediaan port audio 3.5mm dan juga bateri berkapasiti 3300 mAh dengan sokongan teknologi pengecas Dash Charge (20W).

OnePlus 5T dengan ruang storan 64GB akan dijual pada harga USD499 (kira-kira RM2,050), manakala varian 128GB pula dijual pada harga USD559 (kira-kira RM2,445). Ia akan mula dijual pada 21 November 2017 nanti di Amerika Utara, Eropah dan juga India.

You might also like