HTC U11+ Diumumkan Dengan Bingkai Nipis Serta Panel Lut Sinar Untuk Pasaran Malaysia

HTC U11 yang dilancarkan pada pertengahan tahun ini menampilkan ciri menarik iaitu Squeeze yang membolehkan pengguna menggenggam bingkai untuk melancarkan aplikasi tertentu. Hari ini, HTC mengumumkan model terbaru yang telah diperbaharui menggunakan nama HTC U11+ hadir dengan paparan hampir penuh.

Fungsi Squeeze pada HTC U11+ kini dipertingkat dengan deria yang lebih sensitif iaitu genggaman biasa untuk memaparkan senarai aplikasi manakala genggaman kuat untuk melancarkan kamera atau pembantu maya, Google Assistant. HTC yang kini dilihat sering menampilkan inovasi baru turut memadankan panel lut sinar di bahagian belakang sekaligus perkakasan dalaman boleh dilihat.

HTC U11+ didatangkan dengan paparan 6 inci Super LCD QHD (2880×1440) Corning Gorilla Glass 5 dikuasakan oleh set cip Snapdragon 835 dan memori 64GB atau 128GB serta RAM 4GB atau 6GB. Ia juga menyokong kad microSD sehingga 2TB dan dua kad SIM Nano pada satu slot.

Kamera utama dibekalkan dengan sensor 12 Megapiksel 1.4µm Ultraspeed Autofocus dibantu aperture f/1.7 selain penstabilan imej (OIS) dan dwi LED flash. Teknologi sensor BSI juga membawakan pengecaman wajah dengan pemasa sehingga 10 saat. Mod lain juga menyediakan panorama, hyperlapse, HDR boost, dan Pro. Untuk video pula ia mampu merakam video gerak perlahan 120fps dan rakaman berkualiti tinggi sehingga 4K.

Kamera untuk berswafoto kini menyediakan sensor 8 Megapiksel 85 darjah f/2.0 bersama sensor BSI dengan pilihan mod Live make up, auto selfie, voice selfie, HDR boost, selfie panorama, dan rakaman video 1080p HD penuh.

Selain itu, hiburan audio pada HTC U11+ dipadatkan dengan speaker HTC BoomSound Hi-Fi dimana menerima peningkatan 30% lebih kuat berbanding terdahulu. Ini termasuk teknologi HTC Usonic dan Hi-Res Audio membolehkan suara bising sekeliling diasingkan.

Kerangka bodi lut sinar ini hadir dengan sokongan kalis air dan debu IP68. Ia turut menyediakan sambungan USB Type-C di samping Bluetooth 5.0 dan fungsi NFC. Bateri berkapasiti 3,930mAh yang menjana Android 8.0 Oreo pula boleh dicas dengan pantas menerusi teknologi Quick Charge 3.0.

HTC U11+ akan memasuki pasaran Malaysia pada bulan Desember depan dengan dua kemasan warna iaitu Ceramic Black dan Amazing Silver. Bagaimanapun, buat masa ini HTC masih belum menyatakan harga. Kemungkinan pihak HTC ingin memberi sedikit kejutan buat pengguna di Malaysia.

You might also like