

Kedai induk Mi Store oleh Xiaomi yang kedua di Malaysia selepas Queensbay Mall kini dilancarkan secara rasmi di pusat membeli-belah Suria KLCC. Kedai ini dibuka kepada peminat dan pengguna Xiaomi mendapatkan pelbagai peranti pintar seperti telefon, komputer riba, jam kecergasan, dron, televisyen, speaker, beg, dron, skuter, dan beberapa aksesori lain dengan mudah.

Terletak di tingkat 3, bilik pameran Mi store ini sedia menjual produk baru dan sudah pasti ianya bukan set AP tetapi set tulen daripada Xiaomi Malaysia. Dalam masa yang sama, kedai ini juga mempamerkan sebuah telefon pintar terbaru Xiaomi iaitu Redmi Note 5A Prime.

Difahamkan, Xiaomi Malaysia akan membawa masuk peranti pada pertengahan bulan ini dengan ciri-ciri sebuah telefon pintar kelas pertengahan-bawah. Xiaomi Redmi Note 5A Prime hadir bersama skrin bersaiz 5.5 inci dan cip pemproses Snapdragon 435. Sebuah bateri berkapasiti 3,080mAh, RAM 3GB, serta storan 32GB dimuatkan bersama.

Di samping itu, pengunjung yang hadir turut ditawarkan potongan harga sebanyak RM113 untuk setiap pembelian sebarang telefon pintar. Promosi ini hanya diadakan selama 3 hari bermula hari ini untuk 100 pelanggan pertama.




Bagi mereka yang ingin mendapatkan Xiaomi Mi Note 2, ia juga boleh didapati di kedai induk ini. Jadi, kepada anda yang berada di sekitar Kuala Lumpur, jangan lepaskan peluang keemasan untuk menikmati potongan harga yang ditawarkan.

