Reviu Eksklusif: Huawei Watch 2, Menawarkan Jangka Hayat Bateri Yang Lebih Baik

Huawei Watch generasi kedua ini menyediakan Android Wear 2.0 terus dari kotak, di mana ia juga menjadi peranti yang terawal menerima sistem OS tersebut. Huawei juga menawarkan dua pilihan demografik yang berbeza, salah satunya ialah dengan tali kulit dan satu varian lagi dengan tali jenis getah.

Unit reviu kali ini adalah versi tali getah, sebaik membuka kotak pembungkusan, jam ini kelihatan tebal dengan ketebalan kira-kira 11.3mm. Pemuka jam yang bersaiz 45mm ini sangat sesuai dipadankan bersama individu yang berbadan sederhana atau besar, sebaliknya bagi anda yang bersaiz badan kecil ia agak menjengkelkan. Dengan rekaan yang sporty, ia turut meletakkan dua butang utama di bahagian sisi kanan yang mudah untuk diakses seperti kebanyakan jam mekanikal.

Bagaimanapun, kita ketepikan sifat luarannya dahulu dan beralih kepada perkakasan dalaman. Huawei Watch 2 dilengkapi pemuka dan skrin bulat menggunakan paparan AMOLED 1.2 inci. Cip yang efisyen dikuasakan oleh Snapdragon Wear 2100 Quad-core 1.1GHz, RAM sebanyak 768MB serta storan dalaman 4GB.

 

Perbandingan & Spesifikasi

Huawei Dan Maxis Menawarkan Huawei Watch 2 Bersama Telefon Pintar Serendah RM78!

 

Apa Di Dalam Kotak Pembelian?

  1. Kotak pembungkusan
  2. Huawei Watch 2
  3. Dok pengecas berwayar
  4. Adapter pengecas
  5. Buku Manual

 

Fungsi Asas

Huawei Watch 2 boleh dioperasikan menggunakan kad SIM nano 4G atau sambungan WiFi daripada telefon pintar.

Sistem perisian Android Wear 2.0 membolehkan jam berdikari sendiri seperti membuat panggilan telefon, membaca Google Maps atau bermain permainan mudah alih.

Pelbagai tetapan boleh dibuat apabila butang atas (kanan) ditekan, pilihan aktiviti boleh dibuat melalui butang bawah (kanan).

Jika memerlukan bantuan, tekan sahaja butang fizikal di sebelah kanan atas beberapa saat untuk anda mengakses Google Assistant.

 

Antaramuka

Jam pintar ini menyediakan pilihan 24 antaramuka yang berbeza mengikut kesesuaian masing-masing. Anda boleh memilih sama ada untuk menggunakan antaramuka jam mekanikal, digital, kesihatan, senaman atau lain-lain dengan mentatal skrin ke arah kanan. Jika yang disediakan masih tidak mencukupi, anda masih boleh memuat turun selebihnya di Google Play terus dari jam tanpa membuka telefon.

Satu lagi butang fizikal yang disediakan, ini akan membawa anda ke halaman aplikasi Fit dan jika merasakan ianya tidak perlu, anda boleh menukarnya untuk aplikasi lain di ruangan Settings pada bila-bila masa.

 

Sambungan Bluetooth

Sambungan Huawei Watch 2 dan telefon pintar melalui Bluetooth lebih mudah kerana selepas ia disambung, kedua-dua peranti akan menerima notifikasi yang sama malah setiap aplikasi yang sudah dimuat turun di telefon pintar, Huawei Watch 2 akan mengimbas aplikasi tersebut seterusnya akan mencadangkan versi yang sepadan untuknya.

Muat turun aplikasi Android Wear

Semasa sambungan Bluetooth dilakukan, ciri WiFi akan aktif secara automatik sekaligus jam juga sedia untuk dikemas kini. Jika anda dikehendaki memasukkan kata kunci, ia akan menghantar notifikasi terus ke telefon pintar.

Cara menyambung…

  • Langkah 1 > Buka aplikasi di Android Wear, seterusnya tekan titik tiga di penjuru atas kanan.
  • Langkah 2 > Setelah jam dihidupkan, ianya akan meminta sambungan ke Android Wear di telefon pintar.
  • Langkah 3 > Nama jam akan dipaparkan di telefon pintar.

 

  • Langkah 4 > Selepas menekan nama tersebut, satu kod akan terpapar pada jam dan ia perlu sepadan juga di telefon pintar.

 

  • Langkah 5 > Sambungan akan mengambil beberapa saat sahaja.
  • Langkah 6 >  Selepas itu, aplikasi Android Wear akan memaparkan perkataan“connected” bererti sambungan berjaya dilakukan.

 

Kecergasan

Sebaik memakai jam pintar ini, setiap langkah kaki anda sama ada berlari, berjalan atau mendaki akan direkodkan ke dalam catatan log. Rekod kecergasan akan dipaparkan dalam bentuk carta bar termasuk bacaan kadar degupan jantung serta tekanan darah.

Jam ini juga akan membaca jumlah kalori yang dibakar bersama maklumat mengenai indeks jisim badan (BMI) si pengguna.

 

Bateri

Penggunaan bateri pada Huawei Watch 2 amat mengagumkan. Peranti ini boleh bertahan kira-kira dua hari untuk penggunaan normal, tetapi jika anda memerlukan lebih masa menunggu, jam ini juga menyediakan dua pilihan mod.

Pilihan pertama ialah Smart Power Saving, di mana kuasa bateri akan dijimatkan sebanyak 20% dengan mematikan sebarang bentuk gesture. Pilihan kedua pula, mod Watch akan mematikan segala fungsi kecuali penunjuk masa lantas akan memanjangkan lagi jangka hayat bateri sehingga 20 hari dengan sekali pengecasan.

  • Bateri mula dicas
  • Bateri naik kepada 32% selepas 15 minit
  • Bateri naik kepada 78% selepas 30 minit
  • Bateri dicas sepenuhnya selepas 1 jam 25 minit

 

Rumusan

Huawei telah melakukan perubahan besar apabila menggunakan Android Wear 2.0. Ciri yang baru ini juga telah membuang banyak had batasan sekaligus ia juga boleh membuatkan anda tertarik padanya. Huawei Watch 2 sangat sesuai dipadankan kerana ia nampak lebih sporty dan sangat membantu dalam melakukan tugasan seharian.

Walaupun begitu, jika anda meletakkan sempadan pada nilai wang, terdapat banyak pilihan jam pintar di luar sana yang menawarkan rekaan lebih formal pada harga yang lebih kompatitif.

Pro
  • Antara jam pintar yang terbaik untuk tahun 2017 setakat ini.
  • Binaan kerangka logam yang kukuh.
  • Butang Menu yang besar dan mudah untuk ditekan.
  • Paparan skrin yang tajam dan jelas.
  • Pengecasan yang pantas.
Kontra
  • Kerangka badan yang tebal.
  • Saiz paparan agak kecil dibandingkan dengan jenama lain.
  • Aplikasi Huawei Watch perlu sentiasa dibuka di telefon pintar untuk jam terus berhubung.

 

You might also like