iPhone Dengan Google Assistant? Boleh Jadi Ke?

Google menjadi salah satu jenama paling berjaya ketika ini kerana bijak mencipta dan menggunakan peluang. Pasti ramai yang kenal Google sebagai sebuah syarikat teknologi, dengan penciptaan pelbagai servis dan juga aplikasi untuk pengguna. Tahukah anda bahawa Google juga adalah syarikat pengiklanan yang cukup hebat.

Melalui servis yang ditawarkan secara percuma oleh mereka, Google mendapatkan data dan corak penggunaan anda, lantas mempelajari tabiat dan minat anda. Dari situ mereka menjana pendapatan dengan iklan-iklan dari syarikat, perniagaan dan lain-lain. Konsep memberikan servis percuma dan menjana pendapatan melalui iklan cukup bijak kerana secara langsung Google mendapat berbilion-bilion pengguna di dalam masa yang singkat.

Namun servis terbaru mereka, Google Assistant masih lagi terhad, dengan hanya pengguna Pixel dan Home sahaja yang pada ketika ini menggunakan servis ini. Menurut beberapa sumber, tidak lama lagi Google Assistant akan dilancarkan pada peranti Android yang lain. Bagaimana pula dengan pengguna iOS?

Di sini ia menjadi sedikit menarik, pada acara MWC eksekutif Google ditanyakan sama ada mereka ada perancangan untuk membawakan Google Assistant kepada peranti iOS, dan jawapan yang diterima agak tipikal, “Tiada sebarang pengumuman buat masa sekarang”. Kami dapat membayangkan sebenarnya Google sudah pun ada langkah dan niat untuk mengembangkan Google Assistant ke platform-platform lain. Walau bagaimana pun terdapat faktor sekatan dari Apple, kerana Google Assistant adalah pesaing yang cukup hebat untuk Siri. Kita tunggu dan lihat sama ada ini bakal terjadi.

You might also like