
Apple Senyap-Senyap Keluarkan iPhone Variasi Baru
Ketika iPhone 6 dilancarkan, konfigurasi 16GB merupakan spesifikasi asas bagi model tersebut. Selepas itu, variasi kapasiti tersebut dihentikan dengan Apple memilih kapasiti 32GB sebagai spesifikasi kemasukan terbaru.
Jadi agak mengejutkan apabila mendapati satu syarikat telekomunikasi Taiwan menawarkan iPhone 6 32GB pada saluran jualan mereka, dan difahamkan variasi ini tidak akan dijual pada stor jualan Apple, pembeli yang berminat hanya boleh mendapatkan model ini melalui kontrak langganan dengan Taiwan Mobile.
Langkah menghentikan kapasiti storan 16GB merupakan langkah yang sebenarnya patut dilakukan sejak dahulu lagi oleh Apple, memandangkan mereka merupakan antara syarikat yang dianggap trensetter. Ramai yang berharap agar iPhone SE juga akan menerima kemas kini yang sama dengan menjadikan kapasiti 32GB sebagai variasi asas, namun masih tiada sebarang pengumuman dari Apple mengenai permintaan ini.

