
Jika iPhone X Cukup Mahal, Legend Ada Lebih Mahal Daripada Itu

Pada September lalu, Apple telah memperkenalkan iPhone X kepada umum. Ianya masih lagi belum boleh didapati dan dijangka penghujung tahun ini ia akan diguna pakai oleh pengguna AS dan negara-negara gelombang pertama sebagai contoh Singapura.
Jika harga iPhone X cukup mahal bagi anda, Legend ada yang lebih mahal daripada itu. Syarikat berjenama mewah ini menyediakan telefon pintar eksklusif buat golongan kaya raya. Baru-baru ini di laman sesawang mereka memaparkan edisi The Collection. Ia menampilkan iPhone X dalam beberapa variasi seperti Fusion, Corium, Lu, Classique, Momentum, dan Aurum.

Setiap varian ini memiliki kemasan yang sangat eksklusif dengan balutan kulit eksotik, berlian putih, berlian merah, emas 24k, emas padu 18k, dan ibu mutiara hitam. Bagi mereka yang inginkan iPhone X mewah dan sporty, Fusion pula dihiasi kepingan perak, platinum dan gentian karbon bersama earpod disaluti emas tulen.

Difahamkan, peranti iPhone X The Collection boleh dibeli dengan harga bermula €2,950 (lebih kurang RM14,724) sebuah. Setiap varian akan hadir dengan memori 256GB dan didatangkan bersama sarung kulit, kotak pembelian mewah di samping earpod emas 24k.

