Xiaomi Mi A1 Akan Masuk Malaysia Akhir September Ini Tanpa MIUI

Beberapa hari lalu, Xiaomi telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka dengan kehadiran dwi kamera di belakang di pasaran India. Menariknya, peranti ini bukanlah menggunakan antaramuka MIUI tetapi memilih antaramuka Android asli, iaitu Android One. Spesifikasi dalaman yang dikatakan sama dengan Xiaomi Mi 5X ini dioperasikan oleh Android 7.0 Nougat.

Percubaan ini juga meletakkan Mi Ai dengan kelengkapan set cip 14nm Snapdragon 625, RAM 4GB dan storan seluas 64GB. Paparan di depan bersaiz 5.5 inci ini juga dikatakan menjadi pilihan saiz ideal kebanyakan pengguna di dunia. Kamera belakang yang menerima dwi kamera 12 Megapiksel zoom optikal ini adalah sama diguna pakai pada model Xiaomi Mi6.

Di belakang peranti ini juga telah dilabelkan “Android One” menunjukkan Xiaomi meminjam nama Google untuk strategi penjualan. Bagaimanapun, disebalik label berkenaan terdapat sebuah bateri berkapasiti 3,080mAh yang menyokong pengecasan pantas. Peranti ini juga dijanjikan kemas kini Android Oreo selewat-lewatnya akhir tahun ini. Menariknya, Xiaomi Mi A1 juga dikhabarkan antara yang terawal akan menerima Android P tahun hadapan.

Buat masa ini Xiaomi Mi A1 dijual di pasaran India pada harga INR14,999 (sekitar RM988) dengan pilihan warna Hitam, Emas, dan Merah jambu. Sementara, Malaysia dan negara Asia yang lain akan mula diterima mulai 12 September depan.

You might also like