
Samsung Nak Bina Kamera 1000fps Untuk Cabar Sony

Sehingga kini telefon pintar yang mampu merakam video gerak paling perlahan ialah Sony. Model pertama yang menggunakan sensor Motion Eye ialah Sony Xperia XZ Premium, Xperia Xzs dan terkini Xperia XZ1 yang baru dilancarkan tempoh hari. Memandangkan kelebihan itu dipegang oleh syarikat Jepun ini, Samsung juga melihat ia sesuatu yang menarik jika teknologi itu turut dipegang sama.
Melalui teknologi gabungan cip memori dan sensor kamera, dikhabarkan pengeluar Korea sedang merancang untuk membina sensor yang mampu merakam video gerak perlahan sehingga 1000fps. Sensor Motion Eye dari Sony menggunakan tiga lapisan cip, tetapi untuk Samsung pula mereka akan mengubah kepada dua lapisan cip bagi mengelakkan hak paten yang dipegang Sony.

Walaupun begitu, penghasilan ini dijangka lebih mudah kerana Samsung memiliki kilang pengeluaran sensor kamera sendiri berbanding Sony pula bergantung kepada Micron untuk cip 1 gigabit.
Untuk makluman, peranti Samsung Galaxy S8 untuk model pasaran AS menggunakan gabungan kamera yang diperbuat dari Sony. Ada ura-ura mengatakan sensor kamera 1000fps buatan Samsung ini akan digunakan pada Galaxy S9 kelak.

