Rasmi! Sony Malaysia Membawa Masuk Xperia XZ1 dan Xperia XA1 Plus

Sony Malaysia hari ini secara rasminya membawa masuk dua peranti terbaru dalam keluarga Xperia. Peranti yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia mewakili dua kelas, salah satunya ialah Xperia XA1 Plus dan satu lagi ialah peranti flagship iaitu Xperia XZ1. Namun begitu, untuk model Xperia XZ1 Compact ianya tidak diperkenalkan di pasaran Malaysia buat masa ini.

Kita mulakan dengan model induk dahulu, Xperia XZ1 ialah sebuah telefon pintar yang memiliki kerangka badan dengan rekaan yang formal. Identiti Xperia masih lagi dikekalkan tetapi isi dalamannya boleh dikatakan serba baru. Dikuasakan dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 835, ia juga diletakkan RAM sebanyak 4GB dan storan seluas 64GB.

Sony dikatakan memberi perhatian penuh terhadap kamera, ia dibekalkan kamera utama dengan konfigurasi sensor tunggal. Walaupun bukan dwi kamera, prestasi dan kebolehannya tidak perlu dipandang rendah. Menggunakan modul 19 Megapiksel Motion Eye, sensor Exmor RS ini boleh merakam video 4K menggunakan teknologi 5-paksi.

Dengan aperture serendah f/2.0 dan pengoperasian BIONZ, peranti ini mampu merakam gambar HDR dan video gerak perlahan sehingga 960fps selain menawarkan ciri terbaru, Smile Predictive Capture.

Sementara kamera depan pula, sebuah sensor 13 Megapiksel Exmor RS turut dibantu dengan aperture f/2.0 dan lensa sudut lebar.

Xperia XZ1 hadir dengan paparan bersaiz 5.2 inci HD penuh TRILUMINOS, dua speaker depan berkualiti tinggi High-Res Audio, serta bateri berkapasiti 2,700mAh yang menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0. Warna pilihan yang disediakan ialah Moonlit Blue, Black, Warm Silver, dan Venus Pink.

Beralih kepada model kelas pertengahan, Sony dalam masa yang sama memperkenalkan Xperia XA1 Plus. Peranti ini dikuasakan set cip MediaTek Helio P20 Octa-core (Quad-core 2.3Ghz + Quad-core 1.6Ghz) bersama RAM 4GB dan storan sebanyak 32GB yang boleh diperluaskan melalui kad microSD.

Penggambaran pada waktu malam lebih jelas dengan kehadiran kamera utama 23 Megapiksel Exmor RS f/2.0. Sony juga mengatakan sensor pada kamera ini adalah modul yang sama digunakan pada model induk terdahulu, Xperia Z5. Untuk kamera depan pula ia lengkap dengan sensor 8 Megapiksel Exmor R f/2.0.

Xperia XA1 Plus turut dilengkapi paparan 5.5 inci HD penuh 1080p, sistem audio ClearAudio+, dan bateri sebesar 3,430mAh Quick Charge. Pilihan warna yang disediakan antaranya ialah Gold, Black, Blue, dan Pink.

Melengkapkan fungsi kedua-dua peranti ini, Sony buat pertama kalinya telah memasukkan teknologi 3D Creator yang membolehkan imej muka, kepala, dan objek diambil dalam bentuk 3-dimensi.

Ciri ini dikatakan adalah yang pertama seumpanya diintegrasikan ke dalam sebuah telefon pintar. Malah, pengalaman menyeronokan ini juga boleh dimuat naik ke laman sosial selain boleh dicetak menggunakan mesin pencetak 3D.

Model-model yang diperkenalkan ini juga menerima fungsi lain seperti sokongan dwi SIM, USB Type-C, pengimbas cap jari, perlindungan Gorilla Glass, dan sistem OS Android Oreo untuk Xperia XZ1 dan Android N untuk Xperia XA1 Plus.

Sony Xperia XZ1 dan Xperia XA1 Plus ditawarkan pada harga RM2,999 dan RM1,499 sebuah dan masing-masing akan mula berada di pasaran Malaysia pada akhir September dan awal Oktober kelak.

You might also like